Selasa, 28 Ogos 2012

Nama Anak Que Haidar Tiada Kaitan Dengan Ratu Firaun



PETALING JAYA: Pelakon Que Haidar menyifatkan individu yang mempersoalkan nama anak keduanya iaitu Tengku Cleopatra Haidar yang dikatakan menyerupai nama Firaun sebagai tidak masuk akal.

Que berkata, nama tersebut dipilih berdasarkan maksudnya daripada bahasa Greek yang menggambarkan seorang wanita cekal dan berkepimpinan tinggi.

"Semasa membuat pemilihan nama itu saya dan isteri langsung tidak terfikir tentang kaitan nama itu dengan seorang ratu Firaun sebaliknya lebih tertumpu kepada gambaran seorang wanita yang tabah dan cekal dalam kehidupannya.

"Apabila orang mengatakan saya memberi nama yang tidak elok kepada anak, ia satu tuduhan yang tidak betul. Ibu bapa tidak akan berbuat demikian malah kita sentiasa mahukan yang terbaik buat zuriat kita," ujarnya kepada mStar Online .


Que diminta mengulas tuduhan kononnya dia dan isteri, Linda Jasmine tidak sensitif terhadap pemilihan nama anak yang dikatakan menyamai nama ratu Firaun semasa pemerintahan kerajaan Mesir Purba iaitu Ratu Cleopatra VII.

Tambah Que, pemilihan tersebut dibuat atas persetujuan dengan isterinya dan tuduhan-tuduhan yang dilemparkan kepada mereka dibuat tanpa sebarang usul periksa.

Dalam pada itu, Que memberitahu apa yang lebih penting anak yang dilahirkan itu adalah seorang Islam dan tumpuannya kini adalah untuk membesarkannya dengan didikan agama yang kuat supaya menjadi seorang Muslim yang sejati.

Que berkata, dia tidak terlalu memberikan perhatian terhadap apa yang dikatakan oleh masyarakat terhadap perkara itu sebaliknya ingin terus berusaha untuk membesarkan anak-anak.

"Saya sendiri yang iqamatkan anak-anak saya dan mereka adalah seorang Islam. Apa yang lebih penting bagaimana anak-anak saya dibesarkan dan bukannya pada nama," katanya.

Sementara itu, Que memberitahu mereka belum bersedia untuk memperkenalkan anaknya itu kepada umum dan hanya akan berbuat demikian semasa majlis cukur jambul selepas Hari Raya Aidilfitri ini nanti.

Tengku Cleopatra Haidar atau lebih mesra dengan sapaan Cleo dilahirkan pada 26 April lalu secara pembedahan di Hospital Gleneagles Kuala Lumpur.

Selain Cleo, pasangan itu turut dikurniakan seorang lagi anak perempuan iaitu Tengku Ratu Haidar, 2 selain Qalif Khan, 12, iaitu anak pertama Linda bersama bekas suami.

Linda dan Que itu berkahwin pada 14 Februari 2009.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan