STEVEN Gerrard yakin England mampu menjulang Piala Dunia 2014 di Brazil.
Ketua pasukan England itu menegaskan bahawa misi Piala Dunia akan berakhir dengan kemenangan. Gerrard memimpin England ke pertemuan kelayakan pertama menentang Moldova di Chisinau hari ini.
Beliau mengakui ia merupakan percubaan terakhir bagi dirinya untuk membawa kemenangan dua tahun lagi.
"Bila saya bercakap, saya realistik dan jujur. Walaupun kami bukan pasukan kegemaran pada masa ini, namun kami akan bekerja keras untuk memperbaiki kesilapan dari pengalaman lepas.
"Kami perlu yakin dan percaya bahawa keajaiban akan berlaku dalam perlawanan," kata Gerrard dipetik BBC.
Pemain tengah Liverpool berusia 32 tahun ini memberitahu Piala Dunia 2014 merupakan kemunculan terakhirnya.
"Pada usia saya sekarang, saya hanya berfikir untuk melakukan yang terbaik kerana ini mungkin kemunculan terakhir saya, jadi saya mahu mencipta satu kemenangan yang besar," katanya lagi.
Sementara itu, pengurus England, Roy Hodgson berkata persiapan pemain terganggu ekoran kecederaan beberapa pemain utamanya.
Wayne Rooney, Andy Carroll, AdamJohnson dan Ashley Cole telah dikeluarkan akibat kecederaan.
Bagaimanapun, Hodgson telah menurunkan Michael Carrick sebagai pemain tengah skuad.
"Ia adalah satu tamparan hebat kerana kehilangan pemain utama untuk berhadapan dengan skuad besar," katanya.
Carrick, 31, kembali beraksi selepas 18 bulan bercuti kerana ada tugasan yang penting. Kepulangan Carrick ternyata membuatkan Gerrard gembira. -Sinar
Tiada ulasan:
Catat Ulasan