Rabu, 12 September 2012

Harimau Malaya Hilang Taring



STATUS Harimau Malaya selaku juara Asia Tenggara tercalar apabila terkulai di laman sendiri kepada Vietnam 0-2 pada aksi persahabatan antarabangsa di Stadium Shah Alam semalam.

Kekalahan itu memberi tamparan hebat buat Malaysia yang menyaksikan rekod tanpa kalah lima perlawanan persahabatan berstatus A tahun ini lebur ketika misi mempertahankan kejuaraan Piala Suzuki AFF berbaki lebih dua bulan lagi.

Ketua Jurulatih, Datuk K Rajagobal memilih menggandingkan Mohd Zaquan Adha Abd Razak bersama Norshahrul Idlan Talaha sebelum memasukkan Mohd Safee Sali pada babak kedua.

Malah beliau memilih untuk menurunkan Christie Jayaselan bagi mengambil tempat pemain lincah S Kunanlan di bahagian sayap kiri.

Seperti keadaan padang di Stadium Shah Alam yang lembab akibat hujan yang turun sebelum perlawanan bermula, begitu jugalah aksi aksi Harimau Malaya pada babak pertama.

Sebaliknya, Vietnam, juara Piala Suzuki AFF 2008 kini dibimbing jurulatih tempatan, Phan Thanh Hung lebih menguasai permainan dengan mengatur beberapa percubaan bahaya.

Satu-satunya peluang tuan rumah hadir di minit ke-23 apabila sepakan lambung Norshahrul dalam kotak penalti melepasi palang gol.

Bagaimanapun lebih 15,000 penyokong Malaysia tersentak apabila ‘anak emas’ Vietnam membuktikan bisanya dengan menanduk masuk gol pertama pada minit ke-33 untuk menewaskan Mohd Farizal Marlias.

Wira Vietnam ketika menjuarai Piala AFF empat tahun lalu itu sekali lagi berpeluang menambah jaringan seminit kemudian apabila berjaya melepasi perangkap offside namun bola lambungannya dikeluarkan Mohd Aidil Zafuan Abd Razak ketika Farizal sudah tertewas.

Belumpun sempat anak buah Rajagobal mengatur gerakan pada babak kedua, gawang negara sekali lagi dibolosi menerusi tolakan Phan Thanh Hung di minit ke-48 untuk menghukum kelemahan benteng negara.

Menyedari kedudukan semakin sukar, Malaysia membuat tiga pertukaran serentak dengan memasukkan Safee, Kunanlan dan Baddrol Bakhtiar menggantikan Zaquan, Bunyamin Umar dan Christie.

Namun tiada apa yang mampu dilakukan pemain negara apabila pasukan pelawat ampuh bertahan bagi mengekalkan kelebihan jaringan dua gol.

Malaysia dan Vietnam akan membuat perhitungan sekali lagi di Hanoi pada 3 November ini sebagai persiapan terakhir sebelum Piala AFF.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan