IPOH: Amanda Fong Kim Yen, 19, yang mendakwa menjadi mangsa dera suami hari ini tampil untuk memberi penjelasan berhubung rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang memaparkan penderaan terhadapnya.
Amanda yang hadir di Pejabat MCA Ipoh Timur bersama ibunya Lily Yeoh, 49, dan peguam yang mewakilinya Datuk G. Amajit Singh Gill pada kira-kira pukul 2 petang menceritakan kejadian itu yang turut dimuat naik ke dalam laman facebook miliknya.
Beliau yang masih dalam keadaan trauma berkata kejadian itu berpunca daripada perselisihan faham dengan suaminya pada 23 Ogos lalu.
"Semuanya bermula apabila rakan suami saya mahu menjual minyak wangi berjenama kepada kedai kami, saya tidak suka cadangan itu, saya tidak percayakannya kerana rakan suami saya pernah berhutang RM2,000 sejak dua tahun lepas dan gagal membayarnya."
"Saya takut minyak wangi itu tiruan. Saya berhenti bertengkar kerana perut saya rasa sakit dan saya mahu balik dan berehat dan dia mula bertindak ganas terhadap saya," katanya kepada pemberita.
Amanda berkata suaminya mengetahui beliau hamil dua bulan, namun tetap memukulnya termasuk menekan perutnya menggunakan lutut, bagaimanapun tidak menggunakan sebarang senjata atau kayu.
Wanita itu berkata bapanya membuat laporan polis selepas kejadian berlaku manakala beliau membuat laporan polis pada 3 September lalu selepas memuat turun rakaman kejadian itu di dalam facebook miliknya pada 30 Ogos untuk diberikan kepada polis untuk membantu siasatan.
Menurutnya beliau yang mendirikan rumah tangga pada 17 Januari lepas mengetahui suaminya itu mempunyai sikap panas baran dan agresif dan pernah dikasari sebelum mereka berkahwin dan beliau sentiasa memaafkannya dan berharap suaminya akan berubah.
Amajit Singh berkata Amanda merupakan seorang gadis yang berani untuk menceritakan pengalamannya.
"Beliau memuat turun video di dalam internet adalah kerana bimbang dengan kejadian itu dan meminta polis menyiasat kes ini dan seterusnya mengambil tindakan," katanya.
Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri Datuk Dzuraidi Ibrahim melalui khidmat pesanan ringkas berkata kertas siasatan kes itu dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya hari ini untuk tindakan. - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan