Ahad, 16 September 2012

Mayat Bayi Perempuan Dicampak Dari Tingkat 3



Mayat bayi perempuan ditemui di kawasan tempat letak kereta di Pangsapuri Desa Mentari, Petaling Jaya di sini hari ini dengan kecederaan parah di kepala akibat dicampak dari tempat tinggi .

Bayi dipercayai baru lahir dan berkulit cerah itu ditemui seorang penduduk di situ , Jundi Mat, 35, kira-kira pukul 11 pagi .

Jundi berkata ketika kejadian, beliau sedang mengambil motosikal kira-kira dua meter dari tempat bayi itu dicampak sebelum terdengar bunyi objek jatuh .

“Tiba -tiba saya terdengar bunyi seperti ada objek terjatuh di belakang saya dan setelah diperhati adalah seorang bayi ,” katanya ketika ditemui pemberita di tempat kejadian di sini hari ini .

Beliau yang pada mulanya menyangka itu adalah patung permainan terus memanggil individu lain di situ untuk mengesahkan penemuan bayi malang tersebut .

“Semasa saya menjumpai bayi tersebut dia dalam keadaan tertiarap, tidak menangis dan tidak bergerak, ” katanya, yang menetap di tingkat tiga blok 11 di kawasan itu.



Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Arjunaidi Mohamed ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut dan seorang wanita berusia 20-an dipercayai terlibat dalam kes itu telah ditahan.

“Dipercayai bayi tersebut dicampak dari tingkat tiga blok itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 kerana membunuh, ” katanya .

Bagaimanapun motif kejadian masih dalam siasatan dan mayat bayi tersebut dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya untuk bedah siasat. –Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan