Jumaat, 10 Ogos 2012

Muhasabah Diri Di Malam Seribu Bulan



BEGITU pantas masa berlalu. Ramadan cuma tinggal beberapa hari saja lagi. Jika diibaratkan beberapa hari yang tinggal itu seperti kita mengetahui sesuatu yang buruk akan berlaku atau seperti suatu peluang keemasan akan berakhir, sudah tentu kita akan bersiap sedia untuk menghindarkan yang buruk dengan segala persiapan atau berebut-rebut mengambil peluang keemasan seberapa daya.

Begitulah harapnya sikap kita terhadap anugerah keemasan Ramadan yang kita tidak tahu sama ada akan berjumpa dengannya lagi pada tahun depan atau tidak.

Oleh itu, marilah kita merebut baki hari yang ada dengan penuh kesungguhan sebagaimana umat Islam diingatkan supaya beribadat kepada Allah SWT seolah-olah akan mati keesokan hari dan bekerja untuk dunia seolah-olah akan hidup selamanya.

Namun, usaha ini tidak akan sempurna jika hati tidak diketuk untuk merenungi dan menilai apa yang telah dilakukan melalui muhasabah. Ia adalah kitaran penilaian yang tiada penghujung. Apatah lagi apabila berada di penghujung Ramadan yang mana Allah memberi rangsangan sangat kuat kepada hamba-Nya dengan janji nikmat yang tidak boleh ditunaikan oleh manusia seperti pengampunan, penghindaran daripada seksa api neraka dan dianugerahkan dengan malam lebih baik daripada 1,000 malam iaitu malam lailatul- qadar.

Allah juga menegaskan berkali-kali dalam surah al-Rahman nikmat manakah yang dikurniakan kepada hamba-Nya yang didustakan. Sesungguhnya rahmat Allah itu Maha Besar dan Dia Maha Pengasih lagi Penyayang melimpahkannya.

Sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah yang bermaksud: “Allah memiliki seratus rahmat. Satu rahmat diturunkan kepada jin, manusia dan binatang. Dengan rahmat itu mereka saling mengasihi, saling menyayangi dan dengannya haiwan melindungi anaknya. Sedangkan sembilan puluh sembilan rahmat yang lain, Allah simpan untuk hamba-Nya pada hari kiamat.” (Riwayat Imam al-Bukhari dan Muslim).

Inilah antara gambaran kasih sayang Allah terhadap makhluk-Nya dan ditegaskan oleh Rasulullah SAW bahawa umatku adalah umat yang dikasihi.

Antara aspek penting yang perlu dimuhasabahkan adalah muhasabah waktu iaitu bagaimana detik, masa dan hari pada Ramadan telah dimanfaatkan.

Muhasabah waktu, Rasulullah SAW mengingatkan dalam sabdanya yang bermaksud: “Bagi orang yang berakal hendaklah ia mempunyai empat waktu: Iaitu pertama, waktu untuk bermunajat kepada Allah. Kedua, waktu untuk muhasabah dirinya, ketiga, waktu untuk berfikir mencari hikmah pada penciptaan Allah SWT, dan keempat waktu untuk memenuhi keperluan kehidupannya di dunia dan mencari rezeki.” (Hadis riwayat Imam Bukhari dan Muslim)

Malah, Saidina Umar bin al-Khattab juga mengingatkan yang bermaksud: “Hitunglah (amalan) kamu sebelum nanti (waktu) kamu dihitung, timbanglah (berat amalan) kamu sebelum nanti (waktu) kamu akan ditimbang.” (Hadis riwayat Ibn Majah).

Oleh itu, marilah kita memuhasabah diri dan menilai kasih sayang kita kepada-Nya melalui amalan khusus serta kerja seharian sama ada sudah berjaya ditunaikan dengan penuh kesyukuran dan kesungguhan atau sebaliknya.

Keperluan muhasabah ini ditambah suasana dan waktu kita yang semakin sibuk dengan pelbagai persiapan menyambut Syawal.

Dalam konteks pengurusan, usaha muhasabah hasil kerja juga adalah satu kaedah utama dalam proses penilaian berterusan dan menjadi kunci kejayaan. Sama ada sesuatu usaha itu dinilai secara berjadual melalui penilaian suku tahun atau penggal, penilaian mingguan, bulanan atau tahunan, ia memberi dua matlamat penghasilan.

Pertama, untuk merancang tindakan masa depan sama ada menambahbaik atau membetulkan sebarang kekurangan dan kekhilafan daripada tindakan lalu.

Kedua, untuk mengenal potensi diri. Begitulah juga apabila muhasabah setiap waktu pada Ramadan ini, sama ada telah dimanfaatkan serta dapat mengukur sejauh mana potensi dan kekuatan diri dengan amal ibadat dan kerja berkualiti dalam keadaan berpuasa.

Usaha muhasabah bukan sekadar untuk mencapai kedua-dua penghasilan, tetapi yang utama untuk mensyukuri nikmat dan meraih keredaan Allah.

Mereka yang sering bermuhasabah adalah insan yang memandang ke depan dengan hasrat untuk lebih berjaya dan mereka adalah yang cintakan kecemerlangan. Mereka sanggup berkorban dan bersedia untuk bersusah payah bagi mencapai kejayaan.

Imam Ahmad dalam Musnadnya menyebut: “Dan sesungguhnya kemenangan itu bersama kesabaran, kesenangan itu bersama kesusahan dan sesungguhnya pada kesulitan itu ada kemudahan.”

Justeru, marilah kita muhasabah waktu untuk mengenal potensi diri pada Ramadan ini supaya terisi dengan keempat-empat perkara demi persiapan hari esok seperti mana firman Allah yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah dan hendaklah setiap diri memperhatikan apa yang akan dilakukan untuk hari esok (akhirat).” (Surah al-Hasyr, ayat 18)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan