BERNAUNG sebagai residen artis di bawah label produksi terkenal, Metrowealth Movies Production Sdn Bhd (MMP) nyata pilihan tepat buat kebanyakan pendatang baru industri seni. Apatah lagi, produksi milik David Teo ini begitu aktif dalam penghasilan filem dan drama untuk tatapan penonton tempatan.
Malah, sejak beberapa tahun ini filem terbitan MMP dilihat mendominasi tayangan di pawagam. Bahkan, boleh dikatakan setiap bulan ada saja filem terbitannya ditayangkan. Tidak terkecuali, pasti ada ‘muka baru’ turut diketengahkan bakat lakonan mereka kepada penonton.
Justeru, kini nama bintang meningkat naik seperti Wawa Zainal bukanlah asing lagi di kalangan peminat industri hiburan tanah air.
Biarpun masih baru dan giat menimba pengalaman dalam lakonan, namun tawaran buat mereka membintangi filem nyata tak putus. Ada saja peluang diberikan David.
Wawa atau nama sebenarnya Nur Hawa Zainal Abidin kini dilihat umpama ‘anak emas’ buat MMP selepas aktres jelita, Lisa Surihani. Bukan saja berbakat, bahkan wajah jelita Wawa turut membuka ruang kepadanya dipilih menjadi duta produk jenama terkenal. Kini, dua produk dalam genggamannya.
Bersua Wawa pada sesi fotografi dengannya, baru-baru ini, gadis manis berusia 21 tahun itu memaklumkan dia kini menjadi duta produk untuk Lip Ice dan Syahirah.
Katanya, tiada apa yang mampu diungkapkan selain bersyukur dengan rezeki diperoleh walaupun pembabitannya dalam industri seni tanah air masih baru.
“Saya mengikat kontrak dengan MMP selama lima tahun. Namun, dalam tempoh dua tahun ini nampaknya saya semakin mendapat peluang untuk menyerlahkan bakat lakonan. Malah, paling tidak saya duga apabila dipilih sebagai duta untuk produk ternama seperti Lip Ice dan Syahirah."
“Kini, saya akui jadual memang agak padat. Selain sibuk dengan penggambaran, saya juga kena turun padang untuk sesi promosi produk. Begitupun, sekarang saya amat gementar menunggu reaksi penonton untuk lakonan dalam filem komedi, Seram Sejuk yang kini berada di pawagam sejak 19 Ogos lalu."
“Saya tak nafikan amat teruja dengan filem ini kerana pertama kali mendapat peluang melakonkan watak utama. Apapun, watak Ros itu memerlukan saya menjadi gadis gedik yang manja. Ia agak sukar, tetapi saya berusaha memberikan lakonan terbaik dan mengikut saja apa yang disuruh pengarah, Azhari Zain."
“Jadi, apa yang merisaukan saya adalah pandangan penonton. Namun, sebagai seorang pelakon yang masih baru, saya sedar banyak yang harus dipelajari untuk menimba pengalaman. Saya harap lakonan akan disukai dan pada masa sama turut bersedia menerima sebarang kritikan penonton,” katanya.
Menyentuh soal persaingan kerana Wawa kelihatan lebih menonjol berbanding pelakon baru di bawah MMP, kata anak jati dari Lahad Datu, Sabah ini, baginya semua orang mempunyai peluang.
Katanya, dia juga tidak nampak wujudnya persaingan kerana mereka umpama satu keluarga.
“Kalau ada persaingan pun, ia sesuatu yang sihat. Bagaimanapun, setakat ini saya masih belum puas dengan tahap lakonan dipersembahkan. Ini kerana, bagi saya setiap watak dilakonkan itu adalah proses pembelajaran. Jadi, rasanya masih banyak kekurangan yang perlu saya perbaiki untuk lebih bagus lagi."
“Kini, saya mengharapkan peluang melakonkan watak berat. Ia pasti lebih menguji sejauh mana mutu lakonan saya. Apapun, saya akan bersabar menunggunya,” kata Wawa yang memiliki lesung pipit.
Malah, Wawa juga dikenali menerusi drama seperti Klik, Bunga Dari Syurga dan terbaru, Takdir Qismah di TV3.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan