Khamis, 30 Ogos 2012

Kain Sutera Buat Isteri



“Jika tahun lalu saya menyambut Aidilfitri dengan linangan air mata, tapi kali ini saya akan menjadikan sambutan hari raya saya dan isteri sebagai yang paling meriah dalam kehidupan kami berdua,” kata Abil Fikri Ahmad, 44.

Abil berkata, Jun tahun lalu sememangnya amat menguji dirinya apabila isterinya, Fauziah Muhamad, 38, yang dikahwini sejak tiga tahun lalu disahkan lumpuh, selain saraf otaknya tidak lagi berfungsi selepas diserang penyakit asma.

Menurutnya, dia mengambil masa tiga bulan untuk menenangkan diri kerana sukar menerima kenyataan itu.

“Saya memang cukup tertekan ketika itu dan sambutan Ramadan dan Syawal tahun lalu saya raikan dengan rasa tertekan dan sedih."

“Tapi tempoh saya bersedih dan menangis sudah berlalu kerana dalam fikiran saya sekarang hanya mahu pastikan segala keperluan Fauziah disediakan secukupnya dan sempurna sekalipun dia kini hanya mampu terlantar di atas katil,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Sri Puteh, Rasah, dekat sini.

Oleh kerana nasib menimpa isterinya, Abil mengambil keputusan berhenti kerja kerana nekad mahu menjaga isterinya sepenuh masa dengan sebaik mungkin kerana percaya inilah ujian anugerah daripada ALLAH yang menguji keagungan cintanya kepada isteri.

Menurut Abil, setelah setahun berlalu, dia kini tabah dan semakin bersemangat untuk menjaga isterinya dan berharap keajaiban akan muncul suatu hari nanti.

“Saya rindukan isteri yang dulu sebagai tempat bermanja, penghibur dan peneman hidup saya dari kesunyian tetapi kini dia sudah tidak mampu bergerak dan bercakap lagi."

“Setiap hari celik sahaja mata, saya akan perhatikan Fauziah dengan harapan dia akan sembuh, tapi saya percaya semuanya ketentuan ALLAH,” katanya.

Ketika ini, Abil hanya mengharapkan wang bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM300 sebulan serta bantuan ahli keluarga selain pernah menerima bantuan sebanyak RM500 daripada Baitulmal.

“Bantuan yang diterima saya gunakan untuk membiayai perbelanjaan perubatan isteri yang mencecah RM2,500 sebulan termasuk beberapa keperluan harian lain seperti bil elektrik dan air."

“Bagi mengurangkan beban tanggungan kos sara hidup dan ansuran pinjaman rumah, saya terpaksa menjual rumah baru dibeli di Kuala Lumpur."

Sementara itu, untuk persiapan Syawal kali ini, katanya, dia telah membelikan tiga helai kain sutera dan dua selendang untuk Fauziah. Kata Abil, semasa sihatnya sememangnya setiap kali Syawal pilihan baju raya isterinya ialah baju kurung kain sutera.

“Kalau dulu saya tidak tahu pun jenis kain sutera ini kerana biasanya dia akan pilih sendiri dan saya hanya memberi pandangan sama ada pilihannya cantik atau tidak."

“Tapi sekarang saya perlu ambil tahu kerana ia kesukaan Fauziah dan kain tersebut saya akan pakaikannya ketika Syawal tahun ini,” katanya yang gembira menyambut Syawal bersama Fauziah.

Malah, katanya, bukan sahaja rumah dihias cantik, malah bilik isterinya juga dikemas rapi.

Abil berkata, walaupun isterinya tidak mampu bergerak, namun daripada sinar matanya seakan-akan memahami pengorbanan suami yang sanggup bersama ketika susah mahupun senang.

“Nikmat dunianya telah hilang. Jadi, saya sebagai suami akan pastikan dia dijaga paling terbaik. Tipu kalau saya kata tidak susah menjaga orang sakit, tapi bagi saya ini adalah amanah ALLAH."

“Ini Syawal kali kedua Fauziah terlantar, besar harapan dan doa saya agar Syawal tahun depan ada sinar baru buat kami berdua,” katanya.

Paling menarik setiap hari Abil akan mengambil masa mengemas kini laman blog yang mula dibuatnya sejak awal tahun lalu dengan harapan jika Fauziah pulih, dia sendiri akan membaca bagaimana kesusahan dan ketabahan seorang suami menjaga isterinya. -Sinar Harian

Tiada ulasan:

Catat Ulasan