Memaparkan catatan dengan label Cinta dan Perhubungan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Cinta dan Perhubungan. Papar semua catatan

Ahad, 16 September 2012

Petua Buat Lelaki Muslim Memilih Jodoh



Setiap makhluk diciptakan Allah berpasang-pasangan. Begitu juga Allah s.w.t. menciptakan manusia ada lelaki dan wanita. Kedua-duanya saling memerlukan antara satu sama lain. Oleh itu Islam menggalakkan umat dari agama Islam mengikat tali perkahwinan yang sah supaya akan melahirkan zuriat keturunan.

Nabi s.a.w merasa bangga apabila melihat umatnya ramai di hari akhirat nanti, berbondong-bondong masuk ke Syurga. Perkahwinan adalah Sunnah Nabi s.a.w dan baginda tidak mengaku sebagai umatnya apabila ada di kalangan mereka enggan berkahwin tanpa mempunyai alasan yang dibenarkan oleh syarak.

Persoalannya adalah bagaimana seorang Muslim dapat mengenalpasti ciri Muslimah sebelum nikah, kerana ia diperintahkan untuk menundukkan pandangan (shaddul bashar) terhadap wanita?

Seorang yang soleh akan tetap menjaga ketinggian akhlak dan mengelakkan perhubungan yang tidak diizinkan syarak. Berikut adalah antara perkenalan yang perlu dan cara pendekatan yang dapat dilaksanakan :

1. Mengetahui akhlak dan tingkahlaku Muslimah dalam kehidupan harian.

Kehidupan harian yang dilalui setiap individu yang beriman dan beramal soleh digambarkan melalui ciri-ciri berikut iaitu :

a. Ibadah yang khusyu’
b. Berpakaian menutup aurat yang sempurna (menutup seluruh tubuh melainkan muka dan dua tapak tangan).
c. Cara percakapannya tidak dibuat-buat (mengada-ngada).
d. Menjaga pandangannya (tidak melingas matanya memandang, terutamanya melihat pemuda yang bukan mahramnya).
e. Bergaul dengan semua muslimah (tidak membataskan pada kriteria fizikal, seperti bergaul hanya yang sesama berbusana tertentu) dengan akhlak yang karimah.

Pengamatan ini boleh dilakukan melalui pertanyaan kepada siapa yang mengenalinya. Harus diingat bahawa pengamatan ini hendaklah dilakukan dengan cermat, jangan sampai diketahui oleh Muslimah itu, bahawa ia sedang diperhatikan, kerana ini akan menyebabkan salah tingkah atau tindakannya jadi tak natural (bersahaja).

2. Melihat keadaan rumah tangga keluarga wanita.

Hal ini adalah dibolehkan, semasa bertunang. Ia dapat dilakukan semasa menziarahi kedua orang tua kepada wanita yang dipinang. Ketika ini juga ia boleh menanyakan lebih lanjut mengenai wanita itu pada ahli keluarganya. Biasanya jika ia berasal dari keturunan yang baik dan taat agama akan melahirkan wanita yang solehah. Tetapi, harus juga diingat ada juga wanita solehah yang berasal dari keluarga yang kurang taat pada ajaran agama.

3. Penglibatan dalam Dakwah Islam.

Bagi lelaki Muslim yang memahami bahawa tanggungjawab terhadap agamanya tidak dipisah dengan usaha dakwah dan merasakan tidak mencukupi melalui dua perkenalan di atas, maka eloklah ditinjau juga setakat mana penglibatan wanita itu dan peranannya dalam kegiatan dakwah Islam.

Bagi ibu bapa yang baik dan taat beragama, dasar pemilihan dan urusan jodoh anaknya berdasarkan agama yang utama. Namun bagi yang lalai dan silau dengan kilauan harta dan pangkat dunia faktor agama bukan lagi neraca pertimbangannya. Penjodohan dengan dorongan aspek duniawi sangat menyalahi ajaran Islam dan wajib ditolak.

Sekiranya ibu bapa kita tergolong dalam golongan yang tidak menjadikan nilai agama sebagai tunggak dalam perjodohan anaknya maka adalah wajar mendapatkan bantuan mereka yang membimbing dalam pendidikan Islamnya sebagai orang tengah. Melalui kaedah ini adalah lebih baik dan terpelihara dari unsur kerosakan akhlak seperti percintaan sebelum pernikahan yang mendekati zina (bertemu janji berdua-duaan sebelum pernikahan).

Menurut al-Qur’an, wanita ideal mempunyai kriteria adalah seperti berikut :
Firman Allah s.w.t. yang bermaksud, “…Wanita yang baik (solehah) adalah yang taat kepada Allah lagi memelihara diri di belakang suaminya, oleh kerana Allah telah memelihara mereka.” (Surah An-Nisa’ ayat 34)

Seorang Mukmin yang benar-benar taat pada Allah s.w.t. tidak akan mengambil mudah soal jodoh, dengan kata-kata ‘kita kawin dulu, nanti kita tarbiyyah kemudian’. Perlu diingat apabila sudah berkahwin dan mempunyai anak kadangkala tidakada masa untuk mendidik isteri, dan isteri pula enggan menghadiri majlis ilmu dan kemungkinan kemampuan suami pula tidak mempunyai kemampuan yang cukup untuk mentarbiyah isterinya, akhirnya hajat yang awal ingin membina rumah tangga Muslim kecundang ditengah jalan.

Oleh itu pemilihan berdasarkan agama (wanita solehah) adalah amat penting, lebih penting dari kecantikannya, hartanya atau kerjayanya.

Setiap wanita pula perlulah mempersiapkan diri mereka untuk menjadi wanita solehah samaada yang belum berkahwin atau yang telah bersuami. Kerana sesungguhnya sebaik-baik perhiasan dunia adalah wanita solehah.

Di akhirat nanti wanita yang solehah di dunia ini apabila ia dimasukkan ke dalam Syurga, kedudukannya lebih cantik dan mulia daripada bidadari Syurga. Seandainya kedua-duanya suami dan isteri yang soleh dan solehah, andainya mereka dapat memasuki Syurga mereka akan di nikahkan semula oleh Allah s.w.t. di Syurga dan ini adalah kenikmatan yang tidak ada tolok bandingnya.

5 Perkara Yang Membawa Wanita Ke Syurga



Perkara yang membawa seseorang wanita kepada keselamatan dan kebahagiaan dunia dan akhirat.

Pertama, hendaklah melaksanakan kewajipan agama.
Dalam sebuah hadis riwayat al-Bazaar, Rasulullah SAW bersabda (yang bermaksud):
Jika seseorang wanita solat lima waktu, berpuasa pada Ramadan dan taat kepada suaminya, nescaya ia akan masuk syurga.

Kedua, hendaklah mentaati suami.
Hal ini disebut dalam banyak hadis, antaranya hadis riwayat at-Tabarani, daripada Abdullah bin Salam bahawa Rasulullah SAW bersabda (yang bermaksud):
Sebaik-baik wanita adalah wanita yang menyenangkanmu jika kamu melihatnya, mentaatimu jika kau menyuruhnya dan dapat menjaga dirinya dan hartamu ketika engkau tidak bersamanya.

Ketiga, selalu mengingati Allah.
Dalam sebuah hadis riwayat at Tirmizi, bahawa Rasulullah SAW bersabda (yang bermaksud):
Hendaklah kamu (para wanita) memperbanyak membaca tasbih, tahlil, taqdis dan hitunglah dengan ruas jari-jari kerana sesungguhnya mereka akan ditanya dan akan dijadikannya boleh berbicara. Janganlah kamu lalai sehingga melupakan rahmat Allah.

Keempat, solat malam.
Dalam hadis riwayat Abu Daud daripada Abu Hurairah r.a dan Abu Said r.a bahawa Rasulullah SAW bersabda (yang bermaksud):
Sesiapa yang bangun tengah malam, kemudian membangunkan isterinya, lalu mereka melakukan solat berjemaah dua rakaat, maka mereka akan dimasukkan dalam golongan orang-orang yang banyak mengingati Allah.

Kelima, berbuat baik dan banyak bersedekah.
Dalam sebuah hadis riwayat Ahmad dan Tirmizi, Rasulullah SAW bersabda (yang bermaksud):
Wahai semua wanita, bersedekahlah walaupun dari perhiasan kamu sekalian. Sesungguhnya kamu kelak paling banyak menjadi penghuni neraka.

Demikianlah, wallahualam

Rabu, 12 September 2012

Tips Mendidik Anak Dengan Peraturan 10-90



PERNAHKAH anda didatangi seorang jurujual yang gigih dan peramah dalam usaha menjual barangannya? Jika ya, pasti ada yang meminta supaya jurujual itu pergi, tambahan pula sekiranya anda sedang makan. Bagi mereka yang memberi ruang untuk mendengar, masa diberikan tidak sampai lima minit mungkin kerana bosan atau tidak berminat dengan ayat dikeluarkan jurujual itu.

Ada pula yang berceloteh tidak henti-henti dan berusaha bersungguh-sungguh untuk meyakinkan sesiapa saja mengenai kualiti produk yang dibawa mereka sambil memberikan pelbagai sebab orang ramai mesti membelinya dengan kadar segera. Namun kesannya agak bertentangan. Ini kerana ketika timbul minat untuk memiliki produk yang dikatakan ‘berkualiti’ itu celotehnya yang panjang lebar membuatkan sesiapa juga mulai bosan. Apatah lagi bagi jurujual yang sering mengulangi kata-kata yang sama. Ia ibarat menjadikan pendengar seperti anak kecil. Bosan dan terasa seperti diperbodohkan. Ini kerana sebagus mana sekali pun produk itu, ini tidak bermakna orang ramai akan terus membelinya serta-merta.

Apa yang gagal difahami jurujual tadi ialah setiap orang mempunyai senarai keutamaan masing-masing. Dengan mencipta satu keperluan baru melalui taktik tekanan, ia hanya akan mengaburi fikiran pelanggan yang mungkin sedang dihantui masalah yang lain.

Menurut perunding keibubapaan, Zaid Mohamad, kurang bercakap, lebihkan mendengar adalah satu strategi yang sepatutnya digunakan bukan saja jurujual tetapi sesiapa saja. Ini kerana hanya dengan cara itu seseorang boleh memahami masalah bakal pembeli dan menawarkan satu penyelesaian untuk mereka melalui produknya. Pelanggan juga akan berasa dihargai dan dihormati oleh si penjual.

“Saya memanggil peraturan ini sebagai Peraturan 10-90. Ia wujud bukan saja dalam aspek penjualan tetapi juga dalam pelbagai aspek kehidupan termasuk keibubapaan. Amat penting untuk kita memahami aspek ini dan kesannya. Peraturan 10-90 ini boleh kita amalkan dalam kehidupan seharian dan seterusnya membuahkan hasil terbaik dalam bidang keibubapaan,” katanya.

Dalam realiti sebenar, jurujual yang ideal ialah seorang yang bercakap hanya 10 peratus dan memperuntukkan 90 peratus masa untuk mendengar. Sekiranya perkara yang sama dilakukan kepada anak-anak, mereka juga akan merasai perasaan yang sama. Sebagai ibu bapa, jangan terus menerus mendesak mereka melakukan sesuatu perkara tanpa menyelami perasaan terlebih dulu, anak-anak akan berasa tertekan dan mungkin hanya memendam rasa dan berdiam diri.

“Sekalipun apa yang kita ucapkan adalah benar, perasaan negatif dan ego akan menjadi penghalang utama. Anak-anak yang sedang meningkat usia lazimnya mahukan layanan seperti orang dewasa manakala anak kecil pula amat suka jika kepetahan bercakap dan bertanya dilayani dengan penuh minat,” katanya.

Ibu bapa sepatutnya perlu membuktikan yang mereka benar-benar mengambil berat mengenai anak-anak, bukannya hanya memaksa mengikut cara dan idea ibu bapa saja. Dengan banyak mendengar, ibu bapa akan lebih memahami situasi dan masalah anak-anak.

“Jika ini dapat dilakukan, barulah kita mampu menawarkan penyelesaian yang sesuai. Sebagai balasan, anak-anak akan lebih bersikap terbuka untuk berkongsi idea di samping memberikan kerjasama sepenuhnya untuk ibu bapa,” ujarnya.

Tambah Zaid, jurujual, saudara-mara dan sahabat handai yang kuat berleter sentiasa berada di sekeliling dan tiada sesiapa pun suka dileter. Situasi yang sama juga berlaku apabila berinteraksi dengan anak-anak. Tidak menghairankan mengapa anak-anak seolah-olah tidak mengendahkan ibu bapa tatkala mereka dileteri. Sebenarnya, mereka berasa bahawa diri mereka sedang diserang dan dengan itu cuba mempertahankan diri dengan mengalihkan perhatian kepada perkara lain.

“Sebenarnya seseorang itu berleter kerana ingin melepaskan segala perasaan yang terbuku di dada dan terhasil daripada tindak balas terhadap perkara yang berlaku di sekeliling mereka. Apa yang mereka tidak sedari ialah, tindakan berleter itu tidak akan dapat menyelesaikan sebarang masalah. Ia hanya melepaskan tekanan kepada orang lain saja,” jelasnya.

Strategi yang lebih baik adalah dengan sentiasa menganalisa suasana dan situasi sebelum bertindak. Berilah nasihat secara positif jika boleh, jika tidak, senyum sahajalah.

Bila anak-anak berada di rumah, tanamkan azam untuk mengelakkan diri daripada berleter dan merungut. Sebaliknya, sentiasa ingatkan mengenai tanggungjawab dengan penuh kasih sayang.

Banyakkan dorongan dan berikan kata-kata pujian sekiranya mereka berjaya melaksanakan tanggungjawab dengan baik. Ketahuilah daya pemikiran kreatif boleh dipertingkatkan dengan mendadak sekiranya ibu bapa memberi kuasa kepada anak-anak melakukan sesuatu dengan cara mereka sendiri.

Daripada asyik memberi arahan demi arahan, jauh lebih berkesan memberi kebebasan melakukan tugas dengan cara mereka sendiri asalkan tugas itu disiapkan. Dengan memberi kuasa kepada mereka, ibu bapa membuktikan yang mereka mempercayai kemampuan anak-anak di dalam membuat keputusan. Secara tidak langsung, ia melatih menjadi orang-orang yang cerdik dan mampu menghadapi cabaran dunia sebenar. Di samping itu, anak-anak juga akan banyak belajar daripada kesilapan. Dengan memberi kuasa, ia dapat mendorong membina keyakinan diri setiap kali mereka berjaya menyelesaikan sesuatu tugasan.

Lou Holtz, seorang jurulatih terkenal bola sepak Amerika pernah berkata, hidup adalah 10 peratus apa yang terjadi pada kita dan 90 peratus bagaimana kita bertindak balas terhadapnya. Kita tidak boleh mengawal apa yang berlaku di sekitar kita tetapi kita pasti boleh mengawal cara kita menanganinya.

Elakkan daripada mengeluh “Mengapa aku?” apabila ditimpa musibah. Sebaliknya, fikirkan cara untuk memperbaiki keadaan itu. Elakkan daripada berasa diri kita adalah mangsa keadaan sebaliknya, ambil tindakan dan carilah sesuatu yang dapat kita syukuri untuk meneruskan kehidupan. Dalam pada itu, latih anak-anak melakukan perkara yang sama. Tanamkan sifat positif di dalam diri untuk menyahut segala cabaran walau apapun rintangan yang datang.

Ramai ibu bapa tidak tahu, kerap mengerut dahi dan mengeluh tidak baik dalam sebuah keluarga. Malah merekalah insan yang biasanya akan berleter, mengkritik, mengarah-arah dan merungut pada setiap masa. Justeru, tukar dengan menanam azam untuk lebih kerap tersenyum walau apa pun yang berlaku.

Nikmati saat bersama keluarga ketika mereka masih berada di sisi. Sekalipun kita tidak suka pada sesuatu keadaan atau seseorang seperti jurujual yang suka mendesak, lontarkan senyuman sambil mengucapkan selamat tinggal sebelum mereka merosakkan hari kita.

Ingatlah, hidup adalah 10 peratus apa yang terjadi pada kita dan 90 peratus bagaimana kita bertindak balas terhadapnya. -SUMBER

Ahad, 9 September 2012

Isteri Bersalin Awal Demi Cinta Suami



Savannah Aulger terpaksa dilahirkan awal dua minggu oleh ibunya semata-mata bagi membolehkan bapanya, Mark, 52, yang sedang nazak akibat penyakit kanser dapat memangkunya buat kali terakhir sebelum dia menghembuskan nafas terakhir.

Pada 23 Januari lalu, selepas 18 bulan menjalani rawatan kimoterapi untuk kanser paru-parunya, Mark Aulger telah meninggal dunia di samping isteri dan lima anaknya termasuk si bongsu, Savannah.

Satu-satunya gambar yang boleh dilihat Savannah apabila dewasa kelak ialah sekeping foto yang menyedihkan di mana dia berada dalam dakapan bapanya selama 45 minit sebelum Mark koma dan tidak sedarkan diri.

Menurut ibunya, Diane Aulger, suaminya amat gembira selepas mengetahui dia mengandung dan sentiasa bercakap dengan bayi berkenaan ketika masih berada dalam kandungan.

Sebelum ini, Diane berkata, mereka menerima khabar gembira bahawa Mark berjaya mengatasi penyakit kansernya itu, namun pada 3 Januari lalu, keadaan berubah sebaliknya malah lelaki berkenaan terpaksa disuntik dengan steroid dan oksigen.

Keadaan Mark bertambah teruk pada 16 Januari lalu dan dia hanya diberikan tempoh seminggu untuk hidup.

“Kami tidak menyangka keadaan berubah menjadi teruk. Doktor bertanya kepada saya bilakah saya akan melahirkan anak, sekaligus membayangkan suami saya tidak akan dapat bertahan lama lagi,” katanya.

Pada hari Savannah dilahirkan, paras oksigen yang terpaksa dibekalkan kepada Mark dinaikkan namun dia masih sempat memangku bayi berkenaan.

“Mark tidak mampu bertahan lagi. Apabila Savannah menangis dia akan cuba memegang bayi ini,” katanya.

Diane berkata, biarpun Mark sudah tiada lagi, namun mereka tetap meneruskan kehidupan malah anak-anaknya sering bercerita mengenai bapanya ketika dia masih hidup.

Puisi Monolog - Kau Yang Terindah



[ Alisya ]
Duhai Tuhan..
Jika dengan melepaskan cintaku maka aku akan memperolehi kewarasanku, maka biarlah aku menjadi begini seumur hidupku..

[ Firman ]
Duhai Tuhan..
Andai aku mampu padamu saat ini, aku ingin kau ambil seluruh cinta yang ada pada diriku biarlah aku hidup tanpanya..

[ Syamil ]
Duhai Tuhan..
Meskipun sudah bertahun dia mengikat tali cintaku tanpa sebuah makna, biarkanlah cintaku tumbuh, biarkanlah dia terus merekah dan mekar, meskipun aku telah layu dan mati.

Sabtu, 8 September 2012

Apa Yang Suami Perlu Lakukan Ketika Isteri Sedang Sarat Mengandung?



Adalah menjadi impian setiap wanita untuk memiliki suami yang dapat memahami mereka semasa mengandung. Hal ini kerana pada waktu ini, keadaan mereka tidak stabil dan memerlukan bantuan daripada orang lain terutamanya daripada suami. Tetapi mungkin ramai lagi suami yang di luar sana masih tidak lagi memahami situasi ini.

Apakah perkara yang perlu dilakukan suami semasa isteri mereka mengandung?

(1) Luangkan masa bersama isteri
Mungkin suami terlalu sibuk dengan pekerjaan yang perlu dilakukan. Tetapi mereka perlu berusaha untuk meluangkan masa bersama isteri. Ia kerana pada waktu ini isteri amat-amat memerlukan suaminya. Dengan hanya berada disamping isteri, ia dapat membantu untuk mengurangkan tekanan yang sedang ditanggung oleh mereka.

(2) Membantu pemakanan isteri
Seperti yang kita semua tahu, pada waktu ini isteri biasanya akan mengidam. Suami sepatutnya membantu untuk memenuhi kehendak mereka. Selain daripada itu, isteri juga memerlukan makanan yang berkhasiat. Sekiranya suami membelikan mereka yogurt, madu, buah-buahan atau makanan kesihatan yang lain adalah lebih baik.

(3) Perlahan
Suami perlu tahu bahawa semasa isteri mereka mengandung, segala pergerakan mereka akan menjadi perlahan. Apabila suami membawa isteri mereka untuk bersiar-siar, berjalanlah dengan perlahan untuk menunjukkan si suami memahami situasi isterinya. Tidak perlu untuk memarahi mereka disebabkan pergerakan mereka yang lambat.

(4) Tidak perlu bertanya, terus lakukan
Semasa isteri sedang mengandung, tidak perlulah suami bertanyakan mengenai apa yang perlu dilakukan. Apabila melihat kain banyak tidak dibasuh, terus pergi untuk membasuhnya. Begitu juga terhadap kerja rumah yang lain. Ia adalah ciri seorang suami yang baik.

(5) Belajar
Semasa isteri sedang mengandung, mereka akan mengalami perubahan yang besar di dalam aktiviti harian mereka. Suami seharusnya belajar mengenai tanda-tanda seperti ini. Ia akan membuatkan suami lebih bersedia sekiranya isteri marah-marah, terlalu sensitif, kuat merajuk dan sebagainya.

(6) Membantu menyiapkan hidangan makan
Sekiranya sebelum ini segala tugasan hanya dilakukan oleh isteri semata mata untuk memastikan suami mereka kenyang, tidak salah sekiranya semasa isteri mengandung, suami pula melakukan tugasan yang sama.

(7) Membantu menjaga anak yang lain
Ini adalah peluang keemasan untuk suami menghabiskan banyak masa untuk anak mereka. Jangan sesekali melepaskan peluang ini. Ia adalah cara terbaik untuk mengeratkan lagi hubungan ibubapa dan anak.

(8) Menemani isteri ke mana sahaja
Pada waktu ini, sebaiknya jangan biarkan isteri memandu seorang diri. Sekiranya suami mempunyai masa, temankan isteri ke mana sahaja yang mereka ingin pergi.

(9) Pinjamkan tangan pada isteri
Apabila isteri ingin memakan ubat, pinjamkanlah tangan untuk pergi mengambil ubat. Kemudian pinjamkan tangan untuk pergi ambil air suam di dapur.

3 Tips Menangani Sikap Negatif Anak-anak



Salah satu cabaran terbesar ibubapa yang mempunyai anak-anak yang berumur 18bulan dan ke atas adalah dalam menangani sikap negatif @ negativism yang mereka pamerkan.

Sikap negatif seperti membaling barang, menghentak kepala ke dinding, menjerit sekuat hati dan sebagainya jelas menunjukkan nilai ego dan self-power dalam diri mereka mula bercambah.

Mereka mula sedar bagaimana untuk mempertahankan apa yang mereka mahukan. Kalau tak diberi apa yang mereka mahukan, alamat hiruk-pikuklah keadaan rumah dengan jeritan dan tangisan mereka.

Lebih parah keadaannya apabila mereka mula ‘buat perangai’ di kawasan awam seperti di Pusat Membeli Belah, majlis orang kahwin dan sebagainya. Takut-takut hilang sabar jadinya pula..

Menurut setiap kemahuan mereka dalam keluar mencari jalan penyelesaian daripada keadaan tertekan itu bukanlah jawapannya. Malah ianya tambah memburukkan sikap mereka kelak.

Cara-cara Mengatasinya

Bertenang adalah lebih baik daripada marah. Pastikan kita sentiasa tegas dan tepat dalam setiap arahan yang kita lontarkan kepada mereka. Dengan ini membantu mereka menerima arahan dengan jelas dan menuruti apa yang kita suruh. Cara ini membantu kita sebagai ibubapa untuk mempamerkan pula ‘ego’ ataupun kuasa yang ada pada diri kita.

3 Contoh Dalam Menangani Sikap Negatif Anak Secara Bijak

1) Keluarkan kata-kata (verbal) arahan secara spesifik
Jangan gunakan – “Sayang nak makan dulu ke atau mandi dulu?". Pertanyaan ini akan mengundang jawapan negatif daripada anak-anak. Tentukan apa yang mereka patut buat satu persatu dan bukanlah memberi mereka pilihan untuk memilih. Bukankah logik akal mereka masih belum aktif?
Sebaliknya gunakan - ”Jom sayang, sekarang masa untuk mandi dan wangi-wangi". Pernyataan ini sangat spesifik tentang apa yang mereka perlu lakukan tanpa ada pilihan untuk memilih dan pastinya tiada ruang untuk memberontak. Tambahkan sedikit fantasi dengan bernyanyi bersama-sama sambil ke bilik air untuk menarik minat mereka. Mudah bukan?

2) Keluarkan anak-anak daripada ‘zon panas’ dengan segera
Membawa mereka keluar bermain di Pusat Membeli Belah memang menyeronokkan. Tetapi, masalah timbul apabila mereka mula meragam apabila tidak mahu balik atau berhenti. Cara terbaik adalah dengan membawa mereka serta merta keluar daripada ‘zon aktiviti’ itu walaupun mereka menangis sekuat hati. Bawa mereka ke ruangan yang lain, yang jauh daripada tempat permainan tersebut bagi meredakan keinginan mereka. Pastikan setiap pujukan secara tegas kepada mereka agar mereka faham dan dengar tanpa meninggikan suara. Cara ini akan mengambil masa selama 20-30 minit untuk mereka bertenang kembali. Jadi, banyakkan tarik nafas ya..

3) Tentukan had/limits mereka
Kadangkala waktu makan merupakan waktu perang bagi sesetengah ibubapa. Sekiranya mereka mula membaling dan selerakkan makanan di meja makan, serta merta tarik mereka turun daripada kawasan tersebut. Letakkan mereka jauh sedikit dalam 10-20 meter daripada ruang makanan dan beritahu mereka supaya berkelakuan baik sekiranya mahu makan semula. Mereka perlu dididik untuk membezakan waktu makan dan waktu bermain. Kita juga berdiri sambil memeluk tubuh tanda protes kepada sikap negatif mereka tadi. Biarkan mereka lihat dan rasa bersalah dengan sikap tersebut. Jangan risau, ianya hanya mengambil masa dalam 3 ke 5 minit untuk melihat mereka berkelakuan baik semula dan meminta maaf kepada kita. Nak tahu kenapa ? Mereka akan mulai rasa bosan tanpa melakukan apa-apa! Percayalah.

Apabila sudah tahu bagaimana untuk mengatasi sikap atau karenah negatif anak-anak pasti mudahkan mendidik mereka?

Yang penting tangani sikap mereka dengan berhemah tanpa perlu meninggikan suara dan sakit jantung. Ulangi setiap apa yang kita suruh kepada mereka walaupun setiap hari kerana mereka hidup pada waktu kini /present time serta masih dan akan melakukan kesalahan untuk diperbetulkan.

Khamis, 6 September 2012

Mengapa Suami Perlu Menemankan Isteri Ketika Bersalin?



Ketahuilah, hati seorang insan yang bergelar perempuan semasa bersalin adalah takut dan sakit. Namun disebalik ketakutan dan kesakitan para ibu, terselit doa di hati nurani si ibu agar anak yang bakal mengenal dunia itu sihat dan selamat.

Normal jika dikatakan seseorang manusia itu memerlukan seorang lagi manusia lain bagi menjadi peneman, untuk melepaskan gundah perasaan. Soalnya siapa yang harus menjadi peneman?

Jawapannya mudah, tentulah para suami atau bakal bapa kepada si anak.

Disini disenaraikan antara kebaikan untuk para ibu jika para suami menjadi peneman di kala para ibu menghadapi kesulitan semasa mahu bersalin.

1 . Meredakan debaran di hati isteri
Saat-saat ingin melahirkan anak mestilah saat yang mendebarkan, bukan isteri sahaja yang berdebar, malah suami juga. Kehadiran suami di sisi isteri dapat meredakan debaran yang dirasai isteri. Jadi, sama -sama dapat meredakan debaran antara satu sama lain .

2 . Meredakan kesakitan isteri
Kehadiran suami di sisi juga dapat meredakan kesakitan yang ditanggung oleh isteri walaupun hanya sekadar mengusap belakang isteri ketika kontraksi atau sekadar memberi kata-kata perangsang.

3 . Menimbulkan keinsafan di hati suami
Secara tak langsung, boleh timbul keinsafan kepada suami apabila melihat kesakitan yang ditanggung oleh isteri dalam usaha memberikan zuriat yang diinginkan.

4 . Lebih menyayangi dan menghargai isteri
Apabila melihat betapa susahnya isteri melahirkan anak, bertarung nyawa dan menanggung segala kesakitan, boleh memberi keinsafan kepada suami untuk lebih menyayangi dan menghargai isteri.

5 . Lebih menghargai keluarga
Melihat proses bersalin, boleh membuatkan kita lebih menghargai keluarga, bukan setakat kepada isteri dan anak-anak, malah juga kepada ibu yang melahirkan kita. Seperti mana kesakitan yang ditanggung oleh isteri, begitu jugalah kesakitan yang ditanggung oleh ibu saat melahirkan kita.

Namun ada juga segelintir para kaum bapa yang mempunyai perasaan takut melihat darah. Untuk para bapa yang bersifat begitu, kita tidak perlu khuatir kerana kita masih boleh membantu meringankan beban isteri. Para suami masih boleh menemani isteri pada peringkat awal (tahap pertama proses kelahiran).

Pada tahap ini, isteri akan mengalami kontraksi yang lebih kerap. Suami boleh membantu dengan cara:

- Memegang tangan isteri untuk menenteramkannya.

- Mengurut bahagian belakang isteri untuk mengurangkan kesakitan.

- Mengelap muka isteri apabila berpeluh.

- Membasahkan bibir dengan air atau ketulan ais serta beri air kepada isteri.

Semoga info ini dapat membantu para bakal ayah dan ibu khususnya kepada yang pertama kali melalui pengalaman bersalin .

Ketahuilah kaum adam, kaum hawa akan merasa tenteram dan selamat jika kamu berada di sisinya tidak kira baik atau buruknya keadaan itu. Maka cubalah sebaik mungkin untuk menjaga perasaan kaum hawa semasa mereka merasa takut agar ketakutan itu hilang dari wajahnya.

Khamis, 30 Ogos 2012

Kain Sutera Buat Isteri



“Jika tahun lalu saya menyambut Aidilfitri dengan linangan air mata, tapi kali ini saya akan menjadikan sambutan hari raya saya dan isteri sebagai yang paling meriah dalam kehidupan kami berdua,” kata Abil Fikri Ahmad, 44.

Abil berkata, Jun tahun lalu sememangnya amat menguji dirinya apabila isterinya, Fauziah Muhamad, 38, yang dikahwini sejak tiga tahun lalu disahkan lumpuh, selain saraf otaknya tidak lagi berfungsi selepas diserang penyakit asma.

Menurutnya, dia mengambil masa tiga bulan untuk menenangkan diri kerana sukar menerima kenyataan itu.

“Saya memang cukup tertekan ketika itu dan sambutan Ramadan dan Syawal tahun lalu saya raikan dengan rasa tertekan dan sedih."

“Tapi tempoh saya bersedih dan menangis sudah berlalu kerana dalam fikiran saya sekarang hanya mahu pastikan segala keperluan Fauziah disediakan secukupnya dan sempurna sekalipun dia kini hanya mampu terlantar di atas katil,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Sri Puteh, Rasah, dekat sini.

Oleh kerana nasib menimpa isterinya, Abil mengambil keputusan berhenti kerja kerana nekad mahu menjaga isterinya sepenuh masa dengan sebaik mungkin kerana percaya inilah ujian anugerah daripada ALLAH yang menguji keagungan cintanya kepada isteri.

Menurut Abil, setelah setahun berlalu, dia kini tabah dan semakin bersemangat untuk menjaga isterinya dan berharap keajaiban akan muncul suatu hari nanti.

“Saya rindukan isteri yang dulu sebagai tempat bermanja, penghibur dan peneman hidup saya dari kesunyian tetapi kini dia sudah tidak mampu bergerak dan bercakap lagi."

“Setiap hari celik sahaja mata, saya akan perhatikan Fauziah dengan harapan dia akan sembuh, tapi saya percaya semuanya ketentuan ALLAH,” katanya.

Ketika ini, Abil hanya mengharapkan wang bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM300 sebulan serta bantuan ahli keluarga selain pernah menerima bantuan sebanyak RM500 daripada Baitulmal.

“Bantuan yang diterima saya gunakan untuk membiayai perbelanjaan perubatan isteri yang mencecah RM2,500 sebulan termasuk beberapa keperluan harian lain seperti bil elektrik dan air."

“Bagi mengurangkan beban tanggungan kos sara hidup dan ansuran pinjaman rumah, saya terpaksa menjual rumah baru dibeli di Kuala Lumpur."

Sementara itu, untuk persiapan Syawal kali ini, katanya, dia telah membelikan tiga helai kain sutera dan dua selendang untuk Fauziah. Kata Abil, semasa sihatnya sememangnya setiap kali Syawal pilihan baju raya isterinya ialah baju kurung kain sutera.

“Kalau dulu saya tidak tahu pun jenis kain sutera ini kerana biasanya dia akan pilih sendiri dan saya hanya memberi pandangan sama ada pilihannya cantik atau tidak."

“Tapi sekarang saya perlu ambil tahu kerana ia kesukaan Fauziah dan kain tersebut saya akan pakaikannya ketika Syawal tahun ini,” katanya yang gembira menyambut Syawal bersama Fauziah.

Malah, katanya, bukan sahaja rumah dihias cantik, malah bilik isterinya juga dikemas rapi.

Abil berkata, walaupun isterinya tidak mampu bergerak, namun daripada sinar matanya seakan-akan memahami pengorbanan suami yang sanggup bersama ketika susah mahupun senang.

“Nikmat dunianya telah hilang. Jadi, saya sebagai suami akan pastikan dia dijaga paling terbaik. Tipu kalau saya kata tidak susah menjaga orang sakit, tapi bagi saya ini adalah amanah ALLAH."

“Ini Syawal kali kedua Fauziah terlantar, besar harapan dan doa saya agar Syawal tahun depan ada sinar baru buat kami berdua,” katanya.

Paling menarik setiap hari Abil akan mengambil masa mengemas kini laman blog yang mula dibuatnya sejak awal tahun lalu dengan harapan jika Fauziah pulih, dia sendiri akan membaca bagaimana kesusahan dan ketabahan seorang suami menjaga isterinya. -Sinar Harian

Ahad, 26 Ogos 2012

10 Petanda Si Dia Mungkin Jodoh Kita



Jodoh adalah perkara yang sudah ditetapkan oleh Allah yang maha Esa. Tetapi bagaimana kita mengetahui dia memang ditakdirkan untuk kita?

Allah SWT mengurniakan manusia telinga untuk mendengar, mata untuk melihat dan akal untuk berfikir. Jadi gunakan sebaik-baiknya bagi mengungkapkan rahsia cinta yang ditakdirkan.

Dua manusia yang rasa mereka dapat hidup bersama dan memang dijodohkan pasti memiliki ikatan emosi, spiritual dan fizikal antara keduanya. Apabila bersama, masing-masing dapat merasai kemanisan cinta dan saling memerlukan antara satu sama lain. Lalu gerak hati mengatakan, dialah insan yang ditakdirkan untuk bersama. Benarkah ia seperti yang diperkatakan?

Berikut adalah 10 petanda yang menunjukkan dia adalah jodoh kita :

1. Bersahaja
Kekasih kita itu bersikap bersahaja dan tidak berlakon. Cuba perhatikan cara dia berpakaian, cara percakapan, cara ketawa serta cara makan dan minum. Adakah ia spontan dan tidak dikawal ataupun kelihatan pelik. Kalau ia nampak kurang selesa dengan gayanya, sah dia sedang berlakon. Kadang-kadang, kita dapat mengesan yang dia sedang berlakon. Tetapi, apabila dia tampil bersahaja dan tidak dibuat-buat, maka dia adalah calon hidup kita yang sesuai. Jika tidak, dia mungkin bukan jodoh kita.

2. Senang bersama
Walaupun kita selalu bersamanya, tidak ada sedikit pun perasaan bosan, jemu ataupun tertekan pada diri kita. Semakin hari semakin sayang kepadanya. Kita sentiasa tenang, gembira dan dia menjadi pengubat kedukaan kita. Dia juga merasainya. Rasa senang sekali apabila bersama. Apabila berjauhan, terasa sedikit tekanan dan rasa ingin berjumpa dengannya. Tidak kira siang ataupun malam, ketiadaannya terasa sedikit kehilangan.

3. Terima kita seadanya
Apapun kisah silam yang pernah kita lakukan, dia tidak ambil peduli. Mungkin dia tahu perpisahan dengan bekas kekasihnya sebelum ini kita yang mulakan. Dia juga tidak mengambil kisah siapa kita sebelum ini. Yang penting, siapa kita sekarang. Biarpun dia tahu yang kita pernah mempunyai kekasih sebelumnya, dia tidak ambil hati langsung. Yang dia tahu, kita adalah miliknya kini. Dia juga sedia berkongsi kisah silamnya. Tidak perlu menyimpan rahsia apabila dia sudah bersedia menjadi pasangan hidup kita.

4. Sentiasa jujur
Dia tidak kisah apa yang kita lakukan asalkan tidak menyalahi hukum hakam agama. Sikap jujur yang dipamerkan menarik hati kita. Kejujuran bukan perkara yang boleh dilakonkan. Kita dapat mengesyaki sesuatu apabila dia menipu kita. Selagi kejujuran bertakhta di hatinya, kebahagiaan menjadi milik kita. Apabila berjauhan, kejujuran menjadi faktor paling penting bagi suatu hubungan. Apabila dia tidak jujur, sukar baginya mengelak daripada berlaku curang kepada kita. Apabila dia jujur, semakin hangat lagi hubungan cinta kita. Kejujuran yang disulami dengan kesetiaan membuahkan percintaan yang sejati. Jadi, dialah sebaik-baik pilihan.

5. Percaya Mempercayai
Setiap orang mempunyai rahsia tersendiri. Adakalanya rahsia ini perlu dikongsi supaya dapat mengurangkan beban yang ditanggung. Apabila kita mempunyai rahsia dan ingin memberitahu kekasih, adakah rahsia kita selamat di tangannya? Bagi mereka yang berjodoh, sifat saling percaya mempercayai antara satu sama lain timbul dari dalam hati nurani mereka. Mereka rasa selamat apabila memberitahu rahsia-rahsia kepada kekasihnya berbanding rakan-rakan yang lain. Satu lagi, kita tidak berahsia apa pun kepadanya dan kita pasti rahsia kita selamat. Bukti cinta sejati adalah melalui kepercayaan dan kejujuran. Bahagialah individu yang memperoleh kedua-duanya.

6. Senang Bekerjasama
Bagi kita yang inginkan hubungan cinta berjaya dan kekal dalam jangka masa yang panjang, kita dan dia perlu saling bekerjasama melalui hidup ini. Kita dan kekasih perlu memberi kerjasama melakukan suatu perkara sama ada perkara remeh ataupun sukar. Segala kerja yang dilakukan perlulah ikhlas bagi membantu pasangan dan meringankan tugas masing-masing. Perkara paling penting, kita dan dia dapat melalui semua ini dengan melakukannya bersama-sama. Kita dan dia juga dapat melakukan semuanya tanpa memerlukan orang lain dan kita senang melakukannya bersama. Ini penting kerana ia mempengaruhi kehidupan kita pada masa hadapan. Jika tiada kerjasama, sukar bagi kita hidup bersamanya. Ini kerana, kita yang memikul beban tanggungjawab seratus peratus. Bukankah ini menyusahkan?

7. Memahami diri kita
Bagi pasangan yang berjodoh, dia mestilah memahami diri pasangannya. Semasa kita sakit dia bawa ke klinik. Semasa kita berduka, dia menjadi penghibur. Apabila kita mengalami kesusahan, dia menjadi pembantu. Di kala kita sedang berleter, dia menjadi pendengar. Dia selalu bersama kita dalam sebarang situasi. Tidak kira kita sedang gembira ataupun berduka, dia sentiasa ada untuk kita. Dia juga bersedia mengalami pasang surut dalam percintaan. Kata orang, "lidah sendiri lagikan tergigit", inikan pula suami isteri'. Pepatah ini juga sesuai bagi pasangan kekasih. Apabila dia sentiasa bersama kita melalui hidup ini di kala suka dan duka, di saat senang dan susah, dialah calon yang sesuai menjadi pasangan hidup kita.

8. Tampilkan kelemahan
Tiada siapa yang sempurna di dunia ini. Tipulah jika ada orang yang mengaku dia insan yang sempurna daripada segala sudut. Pasti di kalangan kita memiliki kelemahan dan keburukan tertentu. Bagi dia yang bersedia menjadi teman hidup kita, dia tidak terlalu menyimpan rahsia kelemahannya dan bersedia memberitahu kita. Sudah tentu bukan senang untuk memberitahu dan mengakui kelemahan di hadapan kekasihnya. Malah, dia tidak segan mempamerkan keburukannya kepada kita. Misalnya, apabila dia bangun tidur ataupun sakit dan tidak mandi dua hari, dia tidak menghalang kita daripada melawatnya. Apabila kita dan dia saling menerima kelemahan dan sifat buruk masing-masing, memang ditakdirkan kita hidup bersamanya.

9. Kata hati
Dengarlah kata hati. Kadangkala, manusia dikurniakan Allah deria keenam yang dapat mengetahui dan memahami perasaan pasangannya. Dengan deria batin ini juga kita dapat saling tahu perasaan masing-masing. Kita dan dia juga dapat membaca fikiran antara satu sama lain dan dapat menduga reaksi dan tindakbalas pada situasi tertentu. Apabila kita yakin dengan pilihan hidup kita, tanyalah sekali lagi. Adakah dia ditakdirkan untuk kita? Dengarlah kata hati dan buatlah pilihan. Serahlah segalanya pada ketentuan yang maha berkuasa.

10.Solat Istikharah dan Tawakkal
Jodoh dan pertemuan semuanya di tangan Allah SWT. Manusia hanya perancang di pentas dunia ini dan skripnya ditulis oleh yang maha esa. Adakalanya, dalam memainkan peranan sebagai pelakon, diberi petunjuk melalui mimpi atau gerak hati. Mimpi memang mainan tidur, tetapi apabila kita melakukan sembahyang Istikharah dan memohon supaya Allah memberikan petunjuk, insya-Allah dengan izinnya kita mendapat petunjukNya. Jika dia pilihan kita, buatlah keputusan sebaiknya. Jika tidak, tolaklah dia dengan baik. Semua yang kita lakukan ini adalah bagi mendapatkan kebahagiaan hidup di dunia. Setelah semuanya diusahakan, berserahlah kepadaNya dan terus berdoa. Ingatlah, nikmat di dunia ini hanya sementara.Nikmat di akhirat adalah kekal selamanya..

Sabtu, 25 Ogos 2012

Kisah Si Suami Yang Buruk Sangka



Suasana didalam bilik bersalin begitu sunyi sekali. Yang kedengaran hanyalah suara rintihan Rohani menahan kesakitan hendak melahirkan.

"Subhanallah.. Sakitnya.. Isk.. Isk.. Isk.. Isk.. Aduh, bang sakit nya tak tahan saya," keluh Rohani pada suaminya Zamri yang ketika itu ada disisinya.

"Apalah awak ni.. Susah sangat nak bersalin. Sudah berjam-jam tapi masih tak keluar-keluar juga budak tu. Dah penat saya menunggu. Ni mesti ada sesuatu yang tak elok yang awak sudah buat, itulah sebabnya lambat sangat nak keluar budak tu.. Banyak dosa agaknya." rungut Zamri kepada isterinya, Rohani.

Sebak hati Rohani mendengar rungutan suaminya itu, tetapi dia tidak menghiraukannya. Sebaliknya Rohani hanya mendiamkan diri sahaja dan menahan kesakitannya yang hendak melahirkan itu. Rohani tahu sudah hampir 3 jam dia berada dalam bilik bersalin itu tetapi bayinya tidak juga mahu keluar. Itu kehendak Allah Taala, Rohani tidak mampu berbuat apa apa, hanya kepada Allah tempat dia berserah.

Sejak Rohani mengandung ada sahaja yang tidak kena dihati suaminya. Zamri seolah olah menaruh perasaan benci terhadap Rohani dan anak yang dikandungnya itu.

Jururawat yang bertugas datang memeriksa kandungan Rohani dan kemudian bergegas memanggil Doktor Syamsul iaitu Doktor Peribadi Rohani. Doktor Syamsul segera datang dan bergegas menyediakan keperluan menyambut kelahiran bayi Rohani itu.

Rohani hanya mendiamkan diri menahan kesakitan dan kelihatan air matanya meleleh panas dipipi gebunya itu. Rohani menangis bukan kerana takut atau sakit tetapi kerana terkenang akan rungutan Zamri tadi.

Saat melahirkan pun tiba. Doktor Syamsul menyuruh Rohani meneran, "Come on Ani. You can do it.. One more.. One more time, Ani." Kata-kata peransang Doktor Syamsul itulah yang membuatkan Rohani begitu bertenaga dan dengan sekali teran sahaja kepala bayinya itu sudah pun keluar..

"Alhamdulillah," bisik Rohani apabila dia melihat sahaja bayinya yang selamat dilahirkan itu.

Tiba-tiba Rohani terasa sakit sekali lagi dan dia terus meneran untuk kali keduanya, sejurus itu juga keluar seorang lagi bayi, kembar rupanya.

"Tahniah Rohani, You got twin, boy and girl, putih macam You juga," begitulah kata-kata pujian dari Doktor Syamsul kepada Rohani.

"Tahniah Zamri, it's a twin" Doktor Syamsul mengucapkan tahniah kepada Zamri pula.

Zamri hanya mendiamkan diri sahaja setelah menyaksikan kelahiran anak pertamanya itu, kembar pula. Doktor Syamsul memang sengaja menyuruh Zamri melihat bagaimana keadaan kelahiran anak anaknya itu.

Rohani sudah mula merancang akan nama untuk anak-anaknya itu. Yang lelaki akan diberi nama Mohammad Fikri dan yang perempuan akan diberi nama Farhana. Rohani merasa begitu lega sekali setelah melahirkan kembarnya itu, tetapi sesekali bila dia teringat kata kata Zamri sebelum dia melahirkan hatinya menjadi begitu sebak dan sedih sekali.

Sebenarnya memang terlalu banyak kata-kata Zamri yang membuat Rohani berasa jauh hati sekali. Terutamanya sepanjang dia mengandung. Tetapi Rohani hanya bersabar, kerana dia tahu kalau dia mengadu pada emaknya tentu dia akan dimarahi semula. Jadi dia hanya mendiamkan diri dan memendam rasa sahaja.

Kedua-dua anaknya, Mohammad Fikri dan Farhana telah diletakkan dibawah jagaan Nursery di Hospital Universiti Singapura (NUH) untuk memberi peluang Rohani berehat sebentar, kemudian nanti dapatlah dia menyusukan kedua kembar yang comel itu.

Tiba tiba fikiran Rohani menerbang kembali kedetik-detik semasa dia mengandung dahulu. Zamri memang selalu memarahinya, ada sahaja perkara yang tidak kena. Macam-macam kata nista yang dilemparkan kearah Rohani. Ada sahaja tuduhan yang tidak masuk akal, semuanya dihamburkan pada Rohani seolah-olah melepaskan geram. Tidak sanggup rasanya Rohani menghadapi itu semua tetapi demi kestabilan kandungannya, Rohani kuatkan juga semangat dan pendiriannya.

Yang paling menyedihkan sekali ialah sewaktu Rohani mula-mula disahkan mengandung. Zamri tidak percaya yang Rohani mengandung anaknya, dua kali dia membuat pemeriksaan Antenatal untuk mengesahkan kandungan isterinya itu. Keraguan timbul didalam hati Zamri tentang anak dalam kandungan Rohani itu. Zamri tidak boleh menerima kenyataan yang Rohani akan mengandung sebegitu awal sekali sedangkan mereka berkahwin baru 3 bulan. Kandungan Rohani sudah masuk 2 bulan, bermakna Rohani cuma kosong selama sebulan sahaja selepas mereka berkahwin. Bagi Rohani pula itu perkara biasa sahaja yang mungkin turut dilalui oleh pasangan lain juga.

Setelah membuat pemeriksaan Doktor, Rohani pulang kerumahnya dalam keadaan sedih. Pada mulanya Rohani berasa sangat gembira bila dia disahkan mengandung tetapi sebaliknya bila Zamri tidak mahu menerima anak dalam kandungannya itu, perasaannya terus berubah menjadi duka pula. Zamri menuduh yang Rohani berlaku curang, dan anak dalam kandungannya itu adalah hasil dari kecurangan Rohani sendiri. Hati isteri mana yang tidak remuk. Hati isteri mana yang tidak kecewa apabila dituduh sebegitu rupa oleh suaminya sendiri. Rohani pasrah..

Pernah suatu ketika Rohani bertengkar dengan suaminya.

"Kenapa abang berlainan sekarang ni,tak macam dulu, pelembut, suka berjenaka, ini tidak asyik nak cari kesalahan Ani sahaja. Mengapa bang?" Rohani bertanya kepada Zamri.

"Kaulah penyebab segalanya. Tak payahlah nak tunjuk baik." Tempelak Zamri.

"Entah jantan mana yang kau dah layan kat opis kau tu." sergah Zamri lagi.

"Abang syak Ani buat hubungan dengan lelaki lain ke? Subhanallah?? Kenapa Abang syak yang bukan-bukan ni, Anikan isteri Abang yang sah, takkanlah Ani nak buat jahat dengan orang lain pulak," sangkal Rohani pula.

"Allah dah beri kita rezeki awal, tak baik cakap macam tu. Itu semua kehendak Allah." Rohani menghampiri sambil memeluk badan suaminya tetapi Zamri meleraikan pelukannya dengan kasar sekali sehingga tersungkur Rohani dibuatnya.

Serentak itu juga Rohani menangis. Zamri langsung tidak mengendahkannya. Deraian airmata Rohani semakin laju. Rohani hanya mampu menangis sahaja. Amat pedih sekali Rohani rasakan untuk menahan semua tohmahan dari Zamri, suaminya yang sah.

"Woi, benda-benda tu boleh terjadilah Ani. Kawan baik dengan bini sendiri, suami sendiri, bapak dengan anak, hah! emak dengan menantu pun boleh terjadi tau, apatah lagi macam kau ni, tau tak. Dulu tu kawan lama kau yang satu opis dengan kau tu, Amran, bukan main baik lagi budak tu dengan kau." Bentak Zamri lagi.

Tanpa disangka-sangka rupanya Zamri menaruh cemburu terhadap isterinya.

"Entah-entah keturunan kau, darah daging kau pun tak senonoh.. Heh, teruk. Nasib aku lah dapat bini macam engkau ni." kutuk Zamri lagi pada Rohani.

"Bawa mengucap Bang, jangan tuduh Ani yang bukan-bukan. Ani bukan perempuan yang tak tentu arah. Walaupun Ani hanya anak angkat dalam keluarga ni, Ani bukan jenis macam tu, Ani tau akan halal haram, hukum hakam agama. Memang Ani tak pernah tau asal-usul keluarga kandung Ani, tapi Ani bersyukur dan berterima kasih pada emak angkat Ani kerana menjaga Ani sejak dari kecil lagi. Ani dianggapnya seperti darah daging sendiri," Rohani mula membangkang kata-kata nista suaminya itu.

"Abang jangan cuba nak menghina keluarga kandung Ani kerana walaupun mereka tidak membesarkan Ani tetapi disebabkan merekalah, Ani lahir kedunia ini," tambah Rohani lagi dengan sebak didada.

Semenjak peristiwa pertengkaran itulah, setiap hari Rohani terpaksa pergi ke tempat kerja Zamri apabila habis waktu bekerjanya. Sementara menunggu Zamri pulang Rohani berehat di Surau tempat Zamri bekerja. Zamri bekerja sebagai seorang salesman handphone di salah sebuah Pusat membeli belah dan kerjanya mengikut shif. Kalau Zamri bekerja shif malam terpaksalah Rohani menunggu Zamrisampai tengah malam. Begitulah keadaannya sehingga apabila perutnya semakin membesar pun Zamri masih memaksanya. Terpaksalah Rohani berbohong kepada emak dan keluarganya yang lain dengan mengatakan yang dia buat kerja overtime semata-mata untuk mengelakkan pertengkaran dan tuduhan serta kata nista suaminya itu.

Dengan keadaan perut semakin membesar Rohani masih gagahkan juga dirinya pergi bekerja. Kadangkala apabila Zamri tidak menjemput Rohani ditempat kerja, terpaksalah Rohani berasak-asak menaiki bas untuk pulang. Begitulah keadaan Rohani sehinggalah hampir pada waktu bersalinnya.

Pernah sekali Rohani minta dijemput kerana dia sudah tidak larat, tetapi sebaliknya Zamri membalasnya dengan kata-kata kesat kepadanya, perempuan tak tau berdikarilah, berlagak senanglah, lagak kayalah, perempuan tak sedar dirilah, tak layak jadi isterilah, menyusahkan dan macam macam lagi kata-kata nista dilemparkan kepadanya.

Suatu hari Zamri dalam keadaan marah telah menarik rambut Rohani dan menghantukkan kepala Rohani ke dinding. Rohani hanya mampu menangis dan menanggung kesakitan. Ini semua gara-gara Rohani hendak pergi ke rumah Mak Saudaranya yang ingin mengahwinkan anaknya di Tampin. Emak Rohani sudah seminggu pergi kesana untuk menolong Mak Saudaranya itu. Hari sudah semakin petang jadi Rohani mendesak agar bertolak cepat sikit, lagipun langit sudah menunjukkan tanda-tanda hendak hujan.

"Hari dah nak hujan, Bang. Elok rasanya kalau kita pergi awal sikit bolehlah tolong apa yang patut," pinta Rohani.

Tanpa disangka-sangka, kata-kata Rohani itu membuatkan Zamri marah dan dengan dengan tiba-tiba sahaja Zamri bangun. Dengan muka bengisnya, Zamri memandang Rohani.

"Kau tahu aku penatkan, tak boleh tunggu ke? Aku punya sukalah nak pergi malam ke, siang ke, tak pergi langsung ke." marah Zamri.

Rohani menjawab,"Itu Ani tau, Abangkan dah berehat dari pagi tadi takkan masih penat lagi."

Sepantas kilat Zamri datang kepada Rohani dan direntapnya rambut Rohani lalu di hantukkan kepala Rohani kedinding. Rohani tidak berdaya untuk menghalangnya. Ya Allah! Sungguh tergamak Zamri berbuat demikian.. Terasa kebas kepala Rohani dan dirasakannya mula membengkak. Pening kepala Rohani dibuatnya.

"Ya Allah, berilah aku kekuatan untuk menerima semua ini. Kau lindungilah aku dan kandunganku ini dari segala bahaya dan azab sengsara, Ya Allah." Doa Rohani dalam hatinya dengan penuh keluhuran.

Rohani memencilkan dirinya disudut dinding dan menangis sepuas-puasnya.

"Bang, Ani minta maaf jika kata-kata Ani tadi membuatkan Abang marah." Rohani memohon maaf kepada suaminya sambil tersedu-sedu.

* * * * *

Hari itu seperti biasa Zamri ketempat kerjanya. Tiba-tiba handphonenya berbunyi. Kedengaran suara Doktor Syamsul menyuruhnya datang segera ke hospital, kerana ada sesuatu yang berlaku terhadap Rohani.

"Zamri, kami sudah cuba untuk menyelamatkan Rohani tapi kuasa Allah melebihi segalanya, Rohani mengalami pendarahan otak yang serius, sebelum ini pernah tak Rohani jatuh atau kepalanya terhantuk kuat pada sesuatu kerana sebelah kanan kepalanya kelihatan bengkak dan ada tanda lebam. Mungkin kesan dah lama." Doktor Syamsul bertanya agak serius sebaik Zamri tiba di Hospital.

Dia inginkan penjelasan sebenar dari Zamri. Zamri hanya mendiamkan diri. Serentak itu juga Zamri teringat yang dia pernah menarik rambut Rohani dan menghantukkan kepala Rohani kedinding sekuat-kuatnya, dan selepas kejadian itu Zakri tidak pernah sekali pun membawa Rohani ke Klinik untuk membuat pemeriksaan kepalanya. Rohani sering mengadu sakit kepala yang teruk, namun Zamri tidak pernah mengendahkan kesakitan Rohani itu. Malah baginya Rohani hanya mengada-ngadakan cerita, saja buat buat sakit untuk minta simpati.

Sambil menekap mukanya dengan tangan Zamri menyesal, "YA ALLAH apa yang aku dah buat ni."

Doktor Syamsul menjelaskan lagi, "Doktor Zain yang merawat Rohani kerana Rohani mengadu sakit kepala yang amat sangat sewaktu dia memberi susu pada kembarnya di Nursery. Jadi Doktor Zain telah membawa Rohani ke Lab untuk membuat scanning di kepalanya dan confirm otaknya ada darah beku tapi malangnya ia sudah ditahap yang kritikal dan kami tak mampu melakukan apa-apa kerana Rohani tidak mahu di operation sebelum meminta izin dari awak, Zamri. Hanya satu permintaan terakhir arwahnya, dia minta awak membaca diarinya ini. I'm really sorry Zamri, Allah lebih menyayanginya."

Doktor Syamsul menyerahkan sebuah diari yang berbalut kemas dengan kain lampin bayi yang masih baru kepada Zamri. Zamri mengambil diari tersebut. Satu lembaran kesatu lembaran dibukanya. Setiap lembaran tertulis rapi tulisan tangan Rohani mencoretkan peristiwa yang berlaku padanya setiap hari. Begitu tekun sekali Zamri membacanya dan ternyata banyak sekali keluhan, kesakitan & segala luahan rasa Rohani semuanya tertera didalam diari tersebut. Dan Zamri dapati setiap peristiwa itu semuanya adalah perlakuan buruk Zamri terhadap Rohani.

"Ya Allah, kenapa aku buat isteriku begini." keluh hati kecil Zamri penuh penyesalan selepas membaca setiap lembaran diari itu.

Dan apabila tiba ke muka surat terakhir, tiba-tiba Zamri terpandang bunga ros merah yang telah kering. Membuatkab Zamri tertarik untuk membacanya.

"Untuk suamiku yang tersayang, Zamri.

SELAMAT HARI ULANG TAHUN PERKAHWINAN KITA YANG PERTAMA PADA HARI INI."


Dengan air mata yang mula bergenang Zamri memulakan bacaannya.

Assalamualaikum, Abang..
Ingat tak bunga Ros merah ni, Abang berikan pada Ani pada pertemuan pertama kita dulu. Sudah lama Ani simpan bunga tu Bang. Bunga inilah lambang kasih sayang Ani pada Abang selama ini. Ia tidak pernah berubah pun walau telah kering. Ani teramat menyayangi Abang. Ani sentiasa menyimpan setiap hadiah yang Abang berikan pada Ani. Abang tak pernah tahu kan? Itulah salah satu buktinya betapa sayangnya Ani pada Abang.
Terlebih dahulu Ani teringin sangat nak dengar Abang panggil Ani "SAYANG" seperti kita baru baru kahwin dulu. Terasa diri Ani dimanja bila Abang panggil macam tu. Walaupun Ani cuma dapat merasa panggilan "SAYANG" itu seketika sahaja. Abang sudah banyak berubah sekarang. Perkataan "SAYANG" telah hilang dan tidak kedengaran untuk Ani lagi.
Kenapa? Benci sangatkah Abang pada Ani? Ani telah melakukan kesalahan yang menyinggung perasaan Abang ke?
Abang...
Tulisan ini khas Ani tujukan untuk Abang. Bacalah semoga Abang tahu betapa mendalamnya kasih sayang Ani pada Abang.
Abang tentu ingatkan hari ini merupakan hari ulangtahun perkahwinan kita yang pertama dan sebagai hadiahnya Ani berikan Abang, Mohammad Fikri dan Farhana. Buat diri Ani, Ani tak perlukan apa apa pun dari Abang. Cukuplah dengan kasih sayang Abang pada Ani. Ani akan pergi mencari ketenangan dan kedamaian untuk diri Ani. Ani pergi untuk menemuiNya. Ani redha Bang. Harapan Ani, Abang jagalah kedua kembar kita tu dengan baik dan jangan sekali-kali sakiti mereka. Mereka tidak tahu apa-apa. Itulah hadiah paling berharga dari diri Ani dan mereka adalah darah daging Abang. Janganlah seksa mereka. Abang boleh seksa Ani tapi bukan mereka. Sayangilah mereka.
Dan yang terakhir sekali, Ani ingin mengatakan bahawa dalam hidup ini, Ani belum pernah mengadakan apa apa hubungan dengan sesiapa pun melainkan Abang sahaja di hati Ani. Jiwa dan raga Ani hanya untuk Abang seorang.
Ribuan terima kasih Ani ucapkan kerana Abang sudi mengahwini Ani walaupun Ani cuma menumpang kasih didalam sebuah keluarga yang menjaga Ani dari kecil hinggalah Ani bertemu dengan Abang dan berkahwin.
Ani harap Abang tidak akan mensia-siakan kembar kita tu dan Ani tidak mahu mereka mengikut jejak kehidupan Ani yang malang ini dan hanya menumpang kasih dari sebuah keluarga yang bukan dari darah daging sendiri. Tapi Ani tetap bersyukur kerana dapat mengecapi kasih sayang sepenuhnya dari keluarga angkat Ani. Ani harap sangat Abang akan sentiasa memberitahu pada kembar kita yang Ani ibunya, akan sentiasa bersama disamping mereka berdua, walaupun Ani tidak berkesempatan membelai mereka dan cuma seketika sahaja dapat mengenyangkan mereka dengan air susu Ani.
Berjanjilah pada Ani, Bang! dan ingatlah Fikri dan Farhana adalah darah daging abang sendiri.
Ampunkan Ani dan halalkan segala makan minum Ani selama setahun kita hidup bersama. Sekiranya Abang masih tidak sudi untuk menerima kehadiran Fikri dan Farhana dalam hidup Abang, berilah mereka pada emak Ani supaya emak dapat menjaga kembar kita itu. Tentang segala perbelanjaannya, janganlah Abang risau kerana Ani sudah pun masukkan nama emak dalam EPF Ani. Biarlah emak yang menjaga kembar kita itu, sekurang-kurang terubat juga rindu emak sekeluarga pada Ani nanti bila memandang kembar kita. Comel anak kita kan Bang! Mohammad Fikri mengikut raut muka Abang. Sejuk kata orang dan Ani yakin mesti Farhana akan mengikut iras raut wajah Ani, ibunya. Sejuk perut Ani mengandungkan mereka.
Inilah satu satunya harta peninggalan yang tidak ternilai dari Ani untuk Abang. Semoga Abang masih sudi menyayangi dan mengingati Ani walaupun Ani sudah tiada lagi disisi Abang dan kembar kita.
Salam sayang terakhir dari Ani Untuk Abang dan semua. Doakanlah Kesejahteraan Ani.
Ikhlas dari isterimu yang malang,
Rohani."


Sehabis membaca diari tersebut, Zamri meraung menangis sekuat-kuat hatinya. Dia menyesal.

"Sabarlah Zamri, Allah maha berkuasa. Kuatkan semangat kau, kau masih ada Fikri dan Farhana." pujuk Zul, kawan baiknya.

Zamri hanya tunduk membisu.

"Ya Allah... Ani, maafkan Abang.." Tubuh Zamri menjadi longlai dan diari ditangannya terlepas.

Tiba-tiba sekeping gambar dihari pernikahan antara Zamri dan Rohani terjatuh dikakinya lalu segera Zamri mengambilnya.

Belakang gambar itu tertulis "SAAT PALING BAHAGIA DALAM HIDUPKU DAN KELUARGA. SEMOGA KEGEMBIRAAN DAN KEBAHAGIAAN INI AKAN SENTIASA MENYELUBUNGIKU HINGGA KEAKHIR HAYATKU."

Zamri terjelepuk dilantai dengan berjuta penyesalan merangkumi seluruh tubuhnya. Dia seolah-olah menjadi seperti orang yang hilang akal. Satu demi satu setiap perlakuan buruknya terhadap Rohani seperti terakam dalam kepala otaknya. Setiap perbuatannya seperti wayang jelas terpampang.

"Kenapalah sampai begini jadinya. Kejamnya aku. Ani, maafkan Abang. Maafkan Abang.. Abang menyesal.."

Sewaktu jenazah Rohani tiba dirumah suasananya amat memilukan sekali. Zamri sudah tidak berdaya lagi untuk melihat keluarga isterinya yang begitu sedih sekali diatas pemergian anak mereka. Walaubagaimanapun emak Ani kelihatan begitu tabah dan redha. Kedua-dua kembar Zamri sentiasa berada didalam pangkuan nenek mereka.

Untuk kali terakhirnya, Zamri melihat muka Rohani yang kelihatan begitu tenang, bersih dan Zamri terus mengucup dahi Rohani.

"Rohani, Abang minta ampun dan maaf." bisik Zamri perlahan pada telinga Rohani sambil menangis dengan berjuta penyesalan menimpa-nimpa dirinya.

Apabila Zamri meletakkan kembar disisi Rohani, mereka diam dari tangisan dan tangan dari bedungan terkeluar seolah-olah mengusapi pipi ibu mereka buat kali terakhir dan terlihat oleh Zamri ada titisan airmata bergenang di tepi mata Rohani. Airmata itu meleleh perlahan-lahan bila kembar itu diangkat oleh Zamri. Kembarnya menangis semula setelah diangkat oleh Zamri dan diberikan kepada nenek mereka.

Jenazah Rohani dibawa ke pusara. Ramai saudara mara Rohani dan Zamri mengiringi jenazah, termasuklah kedua kembar mereka. Mungkin kedua kembar itu tidak tahu apa-apa tetapi biarlah mereka mengiringi pemergian Ani, Ibu mereka yang melahirkan mereka. Amat sedih sekali ketika itu. Zamri tidak mampu berkata apa-apa melainkan menangisi pemergian Rohani yang selama ini hidup merana atas perbuatannya.

Dan akhirnya Jenazah Rohani pun selamat dikebumikan. Satu persatu saudara mara meninggalkan kawasan pusara, tinggallah Zamri keseorangan di pusara Rohani yang masih merah tanahnya. Meratapi pilu pemergian isterinya itu, berderai airmata Zamri dengan berjuta penyesalan. Sambil menadah tangannya, Zamri memohon pengampunan dari yang Maha Esa...

"Ya Allah. Kuatkan semangat hambamu ini. Hanya Kau sahaja yang mengetahui segala dosa aku pada Rohani. Ampunkan aku Ya Allah.."

Dalam tangisan penyesalan itu, akhirnya Zamri terlelap disisi pusara Rohani. Sempat juga dia bermimpi, Rohani datang menghampirinya, mencium tangan, mengucup dahi dan memeluk tubuhnya dengan lembut mulus. Zamri melihat Rohani tenang dan jelas kegembiraan terpancar dimuka Rohani yang putih bersih itu.

Zamri terjaga dari lenanya. Terngiang-ngiang suara kembarnya menangis. Emak dan keluarga mertuanya itu datang mendekati Zamri. Mereka semua menyabarkannya..

Jumaat, 24 Ogos 2012

5 Tips Membentuk Kepercayaan Antara Kita Dan Si Dia



Salah satu hal yang sering menggugat kestabilan sesebuah perhubungan adalah kerana kurangnya rasa percaya terhadap pasangan, sering berasa curiga tanpa bersebab terhadap pasangan. Perbuatan seperti ini biasanya bakal mengakibatkan pertengkaran kecil yang mungkin membawa ke terputusnya hubungan yang terjalin sekian lama. Ini kerana Si Dia akan merasakan anda adalah seorang yang terlalu cemburu buta dan berburuk sangka sedangkan Si Dia setulus hati bersikap jujur terhadap anda..

Soal kepercayaan terhadap pasangan ni adalah perkara klise yang sering terjadi dengan sesiapa sahaja yang sedang hangat bercinta, mungkin saja ia berlaku kerana terlalu sayang dan risau jika Si Dia berpaling, atau mungkin kerana cerita silam dengan bekas kekasih yang masih menjadi trauma sehingga kurang mempercayai kekasih baru.

Disini TTV senaraikan beberapa TIPS yang Insya-ALLAH mampu diaplikasikan untuk membentuk rasa percaya diantara kita dan Si Dia..

1. Percaya pada diri sendiri & pasangan.
Cuba untuk percaya kepada diri sendiri & elakkan untuk selalu berfikiran negative. Berikan kepercayaan anda kepada dirinya. Kalau tidak memakan hati. Nanti asyik fikir yang negative je sampai pekerjaan tergendala sebab asyik nak layan perasaan anda. Berilah peluang juga kepada pasangan, Dialah pilihan anda, semestinya anda telah membuat keputusan yang betul. Itulah asas yang penting dalam membentuk kepercayaan kepada pasangan.

2. Masa
Jangan fikir kita akan dapat kepercayaan pasangan dalam sekelip mata. Masa mengambil peranan di dalam membentuk kepercayaan & menguatkan perhubungan anda dengan pasangan. Ambil masa untuk mengenali dirinya dengan lebih mendalam. Sekiranya dirinya seorang yang hipokrit dan suka berdrama, lambat laun terbongkar juga.

3. Berlaku adil terhadap pasangan.
Oleh sebab kita pernah mempunyai bekas teman lelaki/wanita yang suka menipu, kita mudah untuk membandingkan bahawa semua lelaki/wanita sama sahaja. Sudah tentu ianya tidak adil. Berilah peluang kepada pasangan anda untuk menunjukkan kejujuran dirinya. Jangan disebabkan nila setitik, rosak susu sebelangga.

4. Komunikasi
Komunikasi memainkan peranan utama dalam setiap perhubungan. Kita akan dapat menilai dan mengenali dirinya dari segi pertuturan bahasa, tingkah laku dan pandangan matanya. Banyakkan berbicara dengan dia supaya tiada salah faham diantara kalian berdua di kemudian hari. Dan kalau boleh jangan suka berahsia dari pasangan (bagitau yang penting jer).

5. Persefahaman
Inilah salah satu sebab kita susah nak meletakkan kepercayaan terhadap pasangan kerana kita susah nak faham tentang dirinya. Cuba untuk meletakkan situasi dia kepada diri kita, Kalau kita masih tertanya-tanya mengenai sesuatu, cuba untuk minta penjelasan darinya secara berlembut.

Sabtu, 18 Ogos 2012

7 Tips Beraya Ke Rumah Si Dia



Si dia mengajak anda beraya ke rumahnya! TTV pasti ramai yang menunggu detik ini, kan? Hari demi hari dihitung dengan penuh debaran. Perasaan gembira, panik, gelabah dan seronok pasti bercampur baur. Maklumlah, saat inilah yang merupakan masa yang sesuai sekali untuk memperkenalkan pujaan hati kepada kaum keluarga, bukan!

Baju mana yang nak di pakai? Tudung pula perlu "matching" dengan baju. Iyerlah, pertama kali bertemu muka dengan bakal mertua. Semua perlu dipelihara. Penampilan diri, tutur kata dan tata tertib harus dijaga. Lebih-lebih lagi jika si dia beribukan "mak datin". Naya kalau ada hati yang tak berkenan. Silap-silap anda akan mendapat "lampu merah"!

Tip 1: Jaga Penampilan
Fikirkan pakaian yang sesuai untuk dipakai pada hari tersebut. Lagi bagus jika anda membuat persediaan awal supaya tidak kelam-kabut pada hari yang dijanjikan itu. Pastikan pakaian anda kemas dan sedap mata memandang. Takkan sekadar T-shirt dan jeans sahaja, kot! Alangkah manisnya jika berbaju kurung bagi wanita dan segaknya si jejaka dengan berbaju Melayu. Pasti terserlah penampilan diri anda di hadapan keluarganya.

Tip 2: Bawa Teman
Elok jika anda membawa teman ke rumah si dia. Barulah hilang sedikit perasaan segan jika ke sana keseorangan. Lagipun, anda pasti tidak mahu nampak ketara sangat mempunyai hubungan dengan anak mereka jika dikenalkan sebagai kawan-kawan. Seorang dua peneman rasanya sudah memadai.Tapi jangan pula membawa terlalu ramai kerana bimbang hilang pula keistimewaan anda di mata keluarganya.

Tip 3: Kenali Ahli Keluarganya
Teman anda tentu selalu bercerita tentang ahli keluarganya. Cuba ingati nama mereka kerana ia boleh membantu anda semasa sesi perkenalan di rumahnya nanti. Tunjukkan bahawa anda benar-benar berminat untuk mengenali mereka. Jika mereka dapat melihat keikhlasan hati anda, pasti anda mendapat "green light" untuk masuk ke dalam keluarga si dia.

Tip 4: Jaga Adab Sopan
"First impression" selalunya memainkan peranan besar yang boleh menguntungkan atau merugikan anda. Peliharalah adab tertib anda terutamanya di hadapan ibu bapanya. Mulakan dengan bersalam sebagai tanda hormat pada mereka. Hati mereka pasti berbunga jika bermenantukan anda yang mempunyai budi pekerti dan sopan santun yang tinggi.

Tip 5: Bersikap Ramah Mesra
Mulakan perbualan dengan bertanya khabar. Mungkin tentang ahli keluarganya atau kerjaya ibu bapanya (walaupun anda pasti sudah mengetahuinya). Jangan berbual kosong kerana ia kadang-kadang membuat anda merapu. Dan jangan terlalu excited semasa berbual kerana kadang-kadang kita boleh tersilap cakap yang mana ia boleh mengeruhkan perhubungan!

Tip 6: Murahkan Senyuman
Jangan panik semasa bersemuka dengan keluarganya. Tingkatkan keyakinan anda dengan memberikan senyuman. Anda pasti tidak mahu dikata sombong, bukan? Kadang kala senyum boleh menutup sikap malu dan pendiam dalam diri anda. Tapi awas, jangan asyik tersenyum macam "kerang busuk" pulak!

Tip 7: Sediakan Buah Tangan
Adab menziarah, buah tangan pasti dihulur. Tanda menghormati rumah yang dikunjungi. Ringankan tangan anda membawa sedikit buah tangan agar tuan rumah rasa dihargai. Lebih lagi orang tuanya tentu sukakan "bakal menantu" yang bersikap pemurah. Malah, bonus bagi anda jika menyediakan sedikit duit raya untuk bakal adik-adik ipar, kan!

Selamat mencuba!! ^^v