Memaparkan catatan dengan label Tips dan Tutorial. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Tips dan Tutorial. Papar semua catatan

Rabu, 12 September 2012

Tips Mendidik Anak Dengan Peraturan 10-90



PERNAHKAH anda didatangi seorang jurujual yang gigih dan peramah dalam usaha menjual barangannya? Jika ya, pasti ada yang meminta supaya jurujual itu pergi, tambahan pula sekiranya anda sedang makan. Bagi mereka yang memberi ruang untuk mendengar, masa diberikan tidak sampai lima minit mungkin kerana bosan atau tidak berminat dengan ayat dikeluarkan jurujual itu.

Ada pula yang berceloteh tidak henti-henti dan berusaha bersungguh-sungguh untuk meyakinkan sesiapa saja mengenai kualiti produk yang dibawa mereka sambil memberikan pelbagai sebab orang ramai mesti membelinya dengan kadar segera. Namun kesannya agak bertentangan. Ini kerana ketika timbul minat untuk memiliki produk yang dikatakan ‘berkualiti’ itu celotehnya yang panjang lebar membuatkan sesiapa juga mulai bosan. Apatah lagi bagi jurujual yang sering mengulangi kata-kata yang sama. Ia ibarat menjadikan pendengar seperti anak kecil. Bosan dan terasa seperti diperbodohkan. Ini kerana sebagus mana sekali pun produk itu, ini tidak bermakna orang ramai akan terus membelinya serta-merta.

Apa yang gagal difahami jurujual tadi ialah setiap orang mempunyai senarai keutamaan masing-masing. Dengan mencipta satu keperluan baru melalui taktik tekanan, ia hanya akan mengaburi fikiran pelanggan yang mungkin sedang dihantui masalah yang lain.

Menurut perunding keibubapaan, Zaid Mohamad, kurang bercakap, lebihkan mendengar adalah satu strategi yang sepatutnya digunakan bukan saja jurujual tetapi sesiapa saja. Ini kerana hanya dengan cara itu seseorang boleh memahami masalah bakal pembeli dan menawarkan satu penyelesaian untuk mereka melalui produknya. Pelanggan juga akan berasa dihargai dan dihormati oleh si penjual.

“Saya memanggil peraturan ini sebagai Peraturan 10-90. Ia wujud bukan saja dalam aspek penjualan tetapi juga dalam pelbagai aspek kehidupan termasuk keibubapaan. Amat penting untuk kita memahami aspek ini dan kesannya. Peraturan 10-90 ini boleh kita amalkan dalam kehidupan seharian dan seterusnya membuahkan hasil terbaik dalam bidang keibubapaan,” katanya.

Dalam realiti sebenar, jurujual yang ideal ialah seorang yang bercakap hanya 10 peratus dan memperuntukkan 90 peratus masa untuk mendengar. Sekiranya perkara yang sama dilakukan kepada anak-anak, mereka juga akan merasai perasaan yang sama. Sebagai ibu bapa, jangan terus menerus mendesak mereka melakukan sesuatu perkara tanpa menyelami perasaan terlebih dulu, anak-anak akan berasa tertekan dan mungkin hanya memendam rasa dan berdiam diri.

“Sekalipun apa yang kita ucapkan adalah benar, perasaan negatif dan ego akan menjadi penghalang utama. Anak-anak yang sedang meningkat usia lazimnya mahukan layanan seperti orang dewasa manakala anak kecil pula amat suka jika kepetahan bercakap dan bertanya dilayani dengan penuh minat,” katanya.

Ibu bapa sepatutnya perlu membuktikan yang mereka benar-benar mengambil berat mengenai anak-anak, bukannya hanya memaksa mengikut cara dan idea ibu bapa saja. Dengan banyak mendengar, ibu bapa akan lebih memahami situasi dan masalah anak-anak.

“Jika ini dapat dilakukan, barulah kita mampu menawarkan penyelesaian yang sesuai. Sebagai balasan, anak-anak akan lebih bersikap terbuka untuk berkongsi idea di samping memberikan kerjasama sepenuhnya untuk ibu bapa,” ujarnya.

Tambah Zaid, jurujual, saudara-mara dan sahabat handai yang kuat berleter sentiasa berada di sekeliling dan tiada sesiapa pun suka dileter. Situasi yang sama juga berlaku apabila berinteraksi dengan anak-anak. Tidak menghairankan mengapa anak-anak seolah-olah tidak mengendahkan ibu bapa tatkala mereka dileteri. Sebenarnya, mereka berasa bahawa diri mereka sedang diserang dan dengan itu cuba mempertahankan diri dengan mengalihkan perhatian kepada perkara lain.

“Sebenarnya seseorang itu berleter kerana ingin melepaskan segala perasaan yang terbuku di dada dan terhasil daripada tindak balas terhadap perkara yang berlaku di sekeliling mereka. Apa yang mereka tidak sedari ialah, tindakan berleter itu tidak akan dapat menyelesaikan sebarang masalah. Ia hanya melepaskan tekanan kepada orang lain saja,” jelasnya.

Strategi yang lebih baik adalah dengan sentiasa menganalisa suasana dan situasi sebelum bertindak. Berilah nasihat secara positif jika boleh, jika tidak, senyum sahajalah.

Bila anak-anak berada di rumah, tanamkan azam untuk mengelakkan diri daripada berleter dan merungut. Sebaliknya, sentiasa ingatkan mengenai tanggungjawab dengan penuh kasih sayang.

Banyakkan dorongan dan berikan kata-kata pujian sekiranya mereka berjaya melaksanakan tanggungjawab dengan baik. Ketahuilah daya pemikiran kreatif boleh dipertingkatkan dengan mendadak sekiranya ibu bapa memberi kuasa kepada anak-anak melakukan sesuatu dengan cara mereka sendiri.

Daripada asyik memberi arahan demi arahan, jauh lebih berkesan memberi kebebasan melakukan tugas dengan cara mereka sendiri asalkan tugas itu disiapkan. Dengan memberi kuasa kepada mereka, ibu bapa membuktikan yang mereka mempercayai kemampuan anak-anak di dalam membuat keputusan. Secara tidak langsung, ia melatih menjadi orang-orang yang cerdik dan mampu menghadapi cabaran dunia sebenar. Di samping itu, anak-anak juga akan banyak belajar daripada kesilapan. Dengan memberi kuasa, ia dapat mendorong membina keyakinan diri setiap kali mereka berjaya menyelesaikan sesuatu tugasan.

Lou Holtz, seorang jurulatih terkenal bola sepak Amerika pernah berkata, hidup adalah 10 peratus apa yang terjadi pada kita dan 90 peratus bagaimana kita bertindak balas terhadapnya. Kita tidak boleh mengawal apa yang berlaku di sekitar kita tetapi kita pasti boleh mengawal cara kita menanganinya.

Elakkan daripada mengeluh “Mengapa aku?” apabila ditimpa musibah. Sebaliknya, fikirkan cara untuk memperbaiki keadaan itu. Elakkan daripada berasa diri kita adalah mangsa keadaan sebaliknya, ambil tindakan dan carilah sesuatu yang dapat kita syukuri untuk meneruskan kehidupan. Dalam pada itu, latih anak-anak melakukan perkara yang sama. Tanamkan sifat positif di dalam diri untuk menyahut segala cabaran walau apapun rintangan yang datang.

Ramai ibu bapa tidak tahu, kerap mengerut dahi dan mengeluh tidak baik dalam sebuah keluarga. Malah merekalah insan yang biasanya akan berleter, mengkritik, mengarah-arah dan merungut pada setiap masa. Justeru, tukar dengan menanam azam untuk lebih kerap tersenyum walau apa pun yang berlaku.

Nikmati saat bersama keluarga ketika mereka masih berada di sisi. Sekalipun kita tidak suka pada sesuatu keadaan atau seseorang seperti jurujual yang suka mendesak, lontarkan senyuman sambil mengucapkan selamat tinggal sebelum mereka merosakkan hari kita.

Ingatlah, hidup adalah 10 peratus apa yang terjadi pada kita dan 90 peratus bagaimana kita bertindak balas terhadapnya. -SUMBER

Sabtu, 8 September 2012

3 Tips Menangani Sikap Negatif Anak-anak



Salah satu cabaran terbesar ibubapa yang mempunyai anak-anak yang berumur 18bulan dan ke atas adalah dalam menangani sikap negatif @ negativism yang mereka pamerkan.

Sikap negatif seperti membaling barang, menghentak kepala ke dinding, menjerit sekuat hati dan sebagainya jelas menunjukkan nilai ego dan self-power dalam diri mereka mula bercambah.

Mereka mula sedar bagaimana untuk mempertahankan apa yang mereka mahukan. Kalau tak diberi apa yang mereka mahukan, alamat hiruk-pikuklah keadaan rumah dengan jeritan dan tangisan mereka.

Lebih parah keadaannya apabila mereka mula ‘buat perangai’ di kawasan awam seperti di Pusat Membeli Belah, majlis orang kahwin dan sebagainya. Takut-takut hilang sabar jadinya pula..

Menurut setiap kemahuan mereka dalam keluar mencari jalan penyelesaian daripada keadaan tertekan itu bukanlah jawapannya. Malah ianya tambah memburukkan sikap mereka kelak.

Cara-cara Mengatasinya

Bertenang adalah lebih baik daripada marah. Pastikan kita sentiasa tegas dan tepat dalam setiap arahan yang kita lontarkan kepada mereka. Dengan ini membantu mereka menerima arahan dengan jelas dan menuruti apa yang kita suruh. Cara ini membantu kita sebagai ibubapa untuk mempamerkan pula ‘ego’ ataupun kuasa yang ada pada diri kita.

3 Contoh Dalam Menangani Sikap Negatif Anak Secara Bijak

1) Keluarkan kata-kata (verbal) arahan secara spesifik
Jangan gunakan – “Sayang nak makan dulu ke atau mandi dulu?". Pertanyaan ini akan mengundang jawapan negatif daripada anak-anak. Tentukan apa yang mereka patut buat satu persatu dan bukanlah memberi mereka pilihan untuk memilih. Bukankah logik akal mereka masih belum aktif?
Sebaliknya gunakan - ”Jom sayang, sekarang masa untuk mandi dan wangi-wangi". Pernyataan ini sangat spesifik tentang apa yang mereka perlu lakukan tanpa ada pilihan untuk memilih dan pastinya tiada ruang untuk memberontak. Tambahkan sedikit fantasi dengan bernyanyi bersama-sama sambil ke bilik air untuk menarik minat mereka. Mudah bukan?

2) Keluarkan anak-anak daripada ‘zon panas’ dengan segera
Membawa mereka keluar bermain di Pusat Membeli Belah memang menyeronokkan. Tetapi, masalah timbul apabila mereka mula meragam apabila tidak mahu balik atau berhenti. Cara terbaik adalah dengan membawa mereka serta merta keluar daripada ‘zon aktiviti’ itu walaupun mereka menangis sekuat hati. Bawa mereka ke ruangan yang lain, yang jauh daripada tempat permainan tersebut bagi meredakan keinginan mereka. Pastikan setiap pujukan secara tegas kepada mereka agar mereka faham dan dengar tanpa meninggikan suara. Cara ini akan mengambil masa selama 20-30 minit untuk mereka bertenang kembali. Jadi, banyakkan tarik nafas ya..

3) Tentukan had/limits mereka
Kadangkala waktu makan merupakan waktu perang bagi sesetengah ibubapa. Sekiranya mereka mula membaling dan selerakkan makanan di meja makan, serta merta tarik mereka turun daripada kawasan tersebut. Letakkan mereka jauh sedikit dalam 10-20 meter daripada ruang makanan dan beritahu mereka supaya berkelakuan baik sekiranya mahu makan semula. Mereka perlu dididik untuk membezakan waktu makan dan waktu bermain. Kita juga berdiri sambil memeluk tubuh tanda protes kepada sikap negatif mereka tadi. Biarkan mereka lihat dan rasa bersalah dengan sikap tersebut. Jangan risau, ianya hanya mengambil masa dalam 3 ke 5 minit untuk melihat mereka berkelakuan baik semula dan meminta maaf kepada kita. Nak tahu kenapa ? Mereka akan mulai rasa bosan tanpa melakukan apa-apa! Percayalah.

Apabila sudah tahu bagaimana untuk mengatasi sikap atau karenah negatif anak-anak pasti mudahkan mendidik mereka?

Yang penting tangani sikap mereka dengan berhemah tanpa perlu meninggikan suara dan sakit jantung. Ulangi setiap apa yang kita suruh kepada mereka walaupun setiap hari kerana mereka hidup pada waktu kini /present time serta masih dan akan melakukan kesalahan untuk diperbetulkan.

Selasa, 28 Ogos 2012

Petua Untuk Kekal Cantik



Ramai wanita inginkan kulit yang cantik dan sihat namun mereka tidak tahu adakalanya aktiviti yang dilakukan setiap hari boleh menyumbang kepada masalah kulit.

Selain memperoleh makanan seimbang, kulit harus dijaga dengan melakukan rutin harian penjagaan seperti membersih, menyegar dan melembap.

Tidak kira sama ada anda menggunakan produk perawatan wajah berjenama atau sebaliknya, tidak boleh tidak ketiga-tiga langkah ini harus dilakukan pada setiap pagi dan malam.

Selain penjagaan luaran, seperti kata pepatah hati yang bersih akan memancarkan aura keceriaan, begitu juga dengan kulit. Apabila anda tiada masalah, sentiasa tersenyum dan kurang tekanan menyebabkan kulit kurang mengendur, tidak berkedut dan tampak muda daripada usia.

Di sini ada beberapa petua untuk wanita sentiasa kelihatan cantik, (sebenarnya bukan untuk wanita je lelaki pun boleh cuba amalkan petua ni) baik untuk kesihatan kulit wajah dan mengelakkan kedutan.

Minum banyak air
Tetapi bukan air berkarbonat atau berperisa, kopi dan teh tetapi air suam atau mineral. Minum banyak air kosong dapat membantu membuang toksin dalam badan, menjaga kesihatan kulit dan juga membantu membakar kalori dalam badan.

Bersenam
Bersenam baik untuk kesihatan dan juga kerohanian. Berjalan di sekitar rumah adalah satu bentuk senaman yang mudah. Jangan malas bersenam. Selepas bangun tidur, cuba lakukan sedikit senaman regangan untuk melancarkan peredaran darah.

Jangan merokok
Merokok merosakkan kulit dan menjejaskan kesihatan. Ada wanita beranggapan merokok boleh menguruskan badan? Sebenarnya tidak, apabila merokok dan wanita terkena penyakit, maka badan pesakit akan kurus.

Tidur yang cukup
Waktu malam masa terbaik untuk tidur. Tidak cukup tidur akan membuatkan anda kelihatan lebih tua daripada usia.

Elak sering mengenakan mekap
Pada waktu tertentu, benarkan kulit anda berehat daripada memakai sebarang mekap. Kulit juga perlu bernafas! Jangan biarkan sisa mekap melekat pada muka ketika tidur.

Makanan
Makan yang cukup tetapi bukan berlebihan. Jangan kerana ingin kurus, anda rela berlapar setiap hari. Cara baik, makan ketika lapar dan berhenti sebelum kenyang. Makan makanan mengikut piramid makanan. Pastikan semua menu sihat disediakan.

Lakukan rawatan wajah dan tubuh
Luangkan masa untuk memanjakan diri seperti membuat rawatan kulit, mencuci rambut di salun, melakukan sauna dan spa atau menikmati mandian buih di rumah. Anda boleh melakukan sendiri. Cari pelbagai jenis bunga yang wangi dan mandi. Bunga dikatakan mempunyai tenaga tersendiri untuk mencantikkan tubuh badan.

Elak tekanan
Stres mempercepatkan proses penuaan. Nikmatilah muzik lembut di bilik tidur bagi meredakan ketegangan.

Yakin diri
Anggap diri sentiasa hebat dan cantik. Ramai pakar psikologi berpendapat apabila seseorang itu yakin dengan sendirinya penampilan akan menyerlah.

Ketawa
Ketawa penawar duka. Sentiasa senyum kerana senyuman terapi paling mudah menghalang proses penuaan.

Sabtu, 25 Ogos 2012

7 Tips Memotivasikan Pagi Anda



Malas, lemah, penat, longlai adalah resam jika anda bukanlah berniat dengan penuh kesungguhan dan bersemangat untuk menikmati kebahagiaan di pagi hari.

Waktu pagi adalah ujian untuk kita, pagi adalah nikmat untuk kita, pagi adalah penentu arah kejayaan dan kegagalan dalam hidup kita.

Justeru itu adakah kita mahu mensia-siakannya?

Ayuh sahabat, bangkitlah! Perkara terbaik yang kita patut lakukan di waktu pagi, adalah:

01.Bersyukur, bersyukur, bersyukur
Bersyukurlah sebab kita masih diberi peluang untuk meneruskan hidup, kita juga masih ada kesempatan untuk melakukan yang terbaik hari ini, lebih baik dari yang kelmarin.

02.Tekad Bermotivasi
Pasang niat dalam hati yang kita mahu jadi bersemangat sepenuhnya. Ambil beberapa artikel-artikel motivasi pendek dan baca dalam seminit dua. Di waktu awal pagi, jangan buka email, baca newspaper, baca gosip-gosip mahupun join sesi mengumpat bersama kawan-kawan. Sebab, ia menerbitkan energi negatif lalu menghalang kita dari bermotivasi sepanjang hari.

03.Dekatkan Diri Dengan Sesi Motivasi
Ikuti sesi-sesi motivasi di media, misalnya Motivasi Pagi di TV3 dan sesi motivasi Dr Izzy di Hot FM. Luangkan masa 3-5 minit memberi motivasi pada diri sendiri melalui sesi-sesi motivasi pendek ni. Motivasi harus dijaga, sebab kalau tak di jaga ia mudah turun. Kesannya, kita menjadi tidak bersemangat, lemah longlai dan lemas.

04.Dalam Apa Jua Yang Kita Buat, Mulakan Dengan Bismillah
Bila kita mula punch card nak masuk kerja, baca bismillah, moga kita dijauhkan dari bisikan syaitan yang membuat kita lalai, mengantuk, macam tak cukup ‘cas bateri’ saja. Andai kata kita seorang pelajar, bermula dari nak masuk kelas, duduk di kerusi kita dan mula nak buka buku, mulakan semuanya dengan bismillah. Moga apa jua yang kita lakukan mendapat keberkatan. Masuk saja ke dalam kelas, pasang niat kita mahu menuntut ilmu. Bila istiqamah melakukannya, kita punya peluang cerah untuk menjadi cemerlang!

05.Set Target Kemajuan Diri Sendiri
Ini juga kurang dititikberatkan. Bila dah keluar rumah sama ada ke kelas atau ke tempat kerja, kita tak tahu apa yang kita nak capai hari tu. Betul tak? Kita hanya nak sampai di sana, bekerja (atau menghadiri kelas) lepas tu nanti petang balik rumah, berehat, makan, minum, pastu tidur. Esok pagi, bangun dan perkara sama berulang lagi. Hidup kita bagai dalam 1 bulatan, situ-situ saja. Mulai hari ini, ubah sikap kita. Set target apa yang kita mahu capai, lagi best setkan untuk setiap hari. Andai kita seorang pelajar, set target berapa bab yang kita nak ulangkaji, berapa buah buku yang kita nak baca dalam minggu ni, berapa soalan kita nak bertanya pada lecturer atau guru kita nanti. Andai kita seorang usahawan, set target berapa jualan yang kita nak capai hari ini dan berapa keuntungan yang kita nak dapat hasil dari bisnes kita. Set juga apa yang anda nak pelajari hari ni dalam bidang bisnes kita. Andai kita seorang pekerja, set berapa tugas yang kita nak siapkan dan set limit masa untuk kita menyiapkan segalanya. Kecekapan seorang pekerja di nilai dari kepantasan, ketepatan dan kekemasan.

06.Lihat Warna Cerah
Warna boleh mempengaruhi mood. Warna cerah membuat kita jadi energetik, ceria dan penuh dengan idea. Setiap hari, lihat warna-warna yang cerah seperti kuning, merah, biru dan hijau. Dekatkan diri dengan benda-benda berwarna cerah sebab ia mampu merubah mood kita menjadi positif.

07.Penuhkan Hati Dengan Kemaafan
Lepaskan segala yang dulu-dulu. Maafkan orang diwaktu pagi, maafkan kesalahan semuanya dari dulu sampai sekarang. Lepaskan dendam, rasa tak puas hati, geram, sakit hati dan yang sewaktu dengannya. Andai emosi-emosi negatif ni bersarang di hati (walaupun sedikit) ia menghalang motivasi. Kesannya, kita jadi orang yang tak bersemangat langsung. Lebih teruk, kita jadi orang yang berfikiran negatif, hanya nampak yang negatif dalam diri setiap orang, setiap situasi dan setiap benda.

Kesimpulannya, kita mesti berubah untuk kemajuan diri. Berani Berubah Untuk Kecemerlangan Hidup.

Jumaat, 24 Ogos 2012

5 Tips Membentuk Kepercayaan Antara Kita Dan Si Dia



Salah satu hal yang sering menggugat kestabilan sesebuah perhubungan adalah kerana kurangnya rasa percaya terhadap pasangan, sering berasa curiga tanpa bersebab terhadap pasangan. Perbuatan seperti ini biasanya bakal mengakibatkan pertengkaran kecil yang mungkin membawa ke terputusnya hubungan yang terjalin sekian lama. Ini kerana Si Dia akan merasakan anda adalah seorang yang terlalu cemburu buta dan berburuk sangka sedangkan Si Dia setulus hati bersikap jujur terhadap anda..

Soal kepercayaan terhadap pasangan ni adalah perkara klise yang sering terjadi dengan sesiapa sahaja yang sedang hangat bercinta, mungkin saja ia berlaku kerana terlalu sayang dan risau jika Si Dia berpaling, atau mungkin kerana cerita silam dengan bekas kekasih yang masih menjadi trauma sehingga kurang mempercayai kekasih baru.

Disini TTV senaraikan beberapa TIPS yang Insya-ALLAH mampu diaplikasikan untuk membentuk rasa percaya diantara kita dan Si Dia..

1. Percaya pada diri sendiri & pasangan.
Cuba untuk percaya kepada diri sendiri & elakkan untuk selalu berfikiran negative. Berikan kepercayaan anda kepada dirinya. Kalau tidak memakan hati. Nanti asyik fikir yang negative je sampai pekerjaan tergendala sebab asyik nak layan perasaan anda. Berilah peluang juga kepada pasangan, Dialah pilihan anda, semestinya anda telah membuat keputusan yang betul. Itulah asas yang penting dalam membentuk kepercayaan kepada pasangan.

2. Masa
Jangan fikir kita akan dapat kepercayaan pasangan dalam sekelip mata. Masa mengambil peranan di dalam membentuk kepercayaan & menguatkan perhubungan anda dengan pasangan. Ambil masa untuk mengenali dirinya dengan lebih mendalam. Sekiranya dirinya seorang yang hipokrit dan suka berdrama, lambat laun terbongkar juga.

3. Berlaku adil terhadap pasangan.
Oleh sebab kita pernah mempunyai bekas teman lelaki/wanita yang suka menipu, kita mudah untuk membandingkan bahawa semua lelaki/wanita sama sahaja. Sudah tentu ianya tidak adil. Berilah peluang kepada pasangan anda untuk menunjukkan kejujuran dirinya. Jangan disebabkan nila setitik, rosak susu sebelangga.

4. Komunikasi
Komunikasi memainkan peranan utama dalam setiap perhubungan. Kita akan dapat menilai dan mengenali dirinya dari segi pertuturan bahasa, tingkah laku dan pandangan matanya. Banyakkan berbicara dengan dia supaya tiada salah faham diantara kalian berdua di kemudian hari. Dan kalau boleh jangan suka berahsia dari pasangan (bagitau yang penting jer).

5. Persefahaman
Inilah salah satu sebab kita susah nak meletakkan kepercayaan terhadap pasangan kerana kita susah nak faham tentang dirinya. Cuba untuk meletakkan situasi dia kepada diri kita, Kalau kita masih tertanya-tanya mengenai sesuatu, cuba untuk minta penjelasan darinya secara berlembut.