Memaparkan catatan dengan label Hiburan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Hiburan. Papar semua catatan

Isnin, 1 Oktober 2012

Los Angeles Di Serang Zombie



Whitney Port dan Mena Suvari adalah dua bintang paling diminati di Hollywood tetapi untuk minggu ini, kedua-dua wanita berambut perang itu ditukar wajah mereka seperti mayat hidup.

Bersama beberapa selebriti lain, bintang filem "The City" dan "American Pie" diberi solekan yang menakutkan untuk kelihatan seperti mayat hidup (zombie) untuk Kempen Derma Darah Zombie Palang Merah Amerika.

Whitney, 27 dan Mena, 33, menunjukkan sokongan ke atas kempen kesedaran menderma darah itu.

Peserta yang mempunyai wajah segar untuk rekaan di bawah jenama Whitney Eve sudah pasti tidak sesuai berada di pertunjukan fesyen dengan kulit mereput dan lubang mata ke dalam ketika dia bergaya untuk sesi penggambaran amal itu.

Ia bukan satu kebetulan kempen zombie itu dilaksanakan tidak lama selepas siri rancangan "The Walking Dead" ditayangkan buat pertama kali di rangkaian televisyen Amerika Syarikat.

Rancangan popular AMC yang dibintangi oleh aktor Britain, Andrew Lincoln, menganjurkan sesi penggambaran yang menakutkan dan juga akan membuat pengumuman umum zombie di Internet dan juga di rangkaian televisyen itu.

Greg Nicotero, produser eksekutif bersama dan juga pakar mekap artis rancangan yang memenangi anugerah Emmy adalah orang yang bertanggungjawab dalam menjadikan selebriti seperti mayat hidup. Siri itu berdasarkan buku komik dengan tajuk yang sama, dicipta oleh Robert Kirkman, Tony Moore dan Charlie Adlard.

( Gambar atas ) CANTIK?... Mena Suvari jadi mayat selepas dimekap oleh Greg Nicotero.


Baru-baru ini terdapat pengumuman bahawa rancangan "The Walking Dead" diberi lampu hijau untuk musim keempat selepas dua musim sebelum ini memecahkan rekod rating rangkaian televisyen itu.

Drama televisyen itu mengisahkan mengenai kumpulan kecil yang berjaya menyelamatkan diri pasca malapetaka dan tinggal di Atlanta, selepas mayat hidup mengambil alih tempat itu.

Walaupun bintang siri "The Walking Dead" itu tidak kelihatan, beberapa susuk berprofil tinggi menunjukkan wajah "mayat hidup" mereka dalam beberapa gambar yang diambil secara suka-suka.


( Gambar atas ) MENAKUTKAN...pelakon "The Client List's" Elisabeth Rehm menunjukkan wajah menakutkan selepas disolek.


Pengarah filem "Hobbit", Peter Jackson, 50, yang berehat sebentar daripada mengarahkan filem trilogi itu bertukar menjadi mayat hidup, begitu juga dengan penyanyi kumpulan Good Charlotte, Joel Madden, 33 dan kumpulan rock yang pernah memenangi Anugerah Grammy, The Black Keys.

Peserta "Dancing with The Stars" Maria Menounos, 34 juga meninggalkan pakaiannya yang penuh labuci itu untuk turut serta menjadi mayat hidup. -DM

Isnin, 24 September 2012

Tidak Jatuh Talak Dalam ‘Untuk Tiga Hari’ – Vanidah Jawab Mufti Perak



Pelakon Vanidah Imran menjelaskan tidak berlaku penceraian diantara dia dan suami, Rashidi Ishak berikutan dialog yang diungkapkan menerusi filem Untuk Tiga Hari.

Vanidah yang dihubungi mStar Online di sini Isnin berkata, dia dan suaminya telah meneliti skrip filem arahan Afdlin Shauki itu sebelum menerima tawaran membintangi karya berkenaan.

“Saya tidak faham bahagian mana dalam filem itu yang mengatakan Rashidi ada melafazkan cerai terhadap saya?"

“Sebagai pelakon kami sangat berhati-hati dengan perkara sebegini dan tidak akan menerima sebarang watak yang menggambarkan sifat negatif suami isteri,” katanya.

Vanidah mengulas nasihat Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria seperti dilaporkan sebuah akhbar pada Isnin yang menggesa dia dan Rashidi memaklumkan kepada Jabatan Agama Islam berikutan lafaz cerai yang diungkapkan dalam filem tersebut.

Dalam pada itu, Vanidah menegaskan dia tidak akan ke pejabat agama seperti mana dinasihatkan oleh Harussani kerana yakin tidak berlaku penceraian seperti yang didakwa.

Vanidah memberitahu, sebagai seorang Islam dia sedar mengenai soal agama serta hukum dan tidak akan cepat melatah dengan isu yang digembar-gemburkan.

“Saya tidak nampak sebarang sebab mengapa saya dan Rashidi perlu ke pejabat agama untuk merujuk status kami sebagai suami isteri kerana lafaz cerai tidak pernah berlaku,” tegasnya.

Bagaimanapun Vanidah berkata, dia menerima nasihat daripada Harussani sebagai seorang ahli agama namun menganggap ulasan itu hanya dibuat berdasarkan kepada pandangan pihak ketiga tanpa menonton filem berkenaan.

“Saya berpendapat beliau tidak menonton filem itu tetapi hanya mendengar ulasan daripada pihak lain."

“Jika benar telahan saya itu, adalah tidak wajar pihak ketiga mahu mengheret seorang mufti memberi ulasan tanpa beliau melihat sendiri adegan yang saya dan suami lakonkan,” katanya.

Vanidah berkata, sepanjang 12 tahun perkahwinan, mereka sentiasa memastikan keharmonian rumah tangga dan menjaga aib masing-masing.

“Bergelar pasangan selebriti menyebabkan ramai mata yang sentiasa memandang kami tetapi Alhamdulilah setakat ini kami bebas dari sebarang cerita-cerita yang tidak elok,” katanya. – MStar



Laporan Akhbar Utusan Online :

Kuala Lumpur : Pasangan pelakon Rashidi Ishak dan Vanidah Imran (Vee) digesa segera merujuk kepada jabatan agama Islam berikutan lafaz cerai yang diungkapkan Rashidi terhadap Vanidah dalam filem Untuk Tiga Hari.

Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria berkata, lafaz cerai yang diungkapkan Rashidi sewaktu melakonkan watak Zafrin dalam filem itu menyebabkan perkahwinan sejak 1 Oktober 2000 antara beliau dan Vanidah tidak sah di sisi agama.

“Ia umpama menjadikan sesebuah perkahwinan itu sebuah permainan seperti kahwin muta’ah. Justeru, saya menasihatkan kedua-dua mereka merujuk kepada jabatan agama Islam dengan segera. – Utusan Online

Jumaat, 21 September 2012

Shila Amzah Juarai Asian Wave 2012 - Shanghai



SHANGHAI- Penyanyi Nur Shahila Amir Amzah atau Shila Amzah, 22, berjaya mengharumkan nama negara dengan menjuarai pertandingan Asian Wave 2012 yang berlangsung di Shanghai, China bermula jam 8.30 malam tadi.

Dengan kejayaan itu, Shila berjaya menewaskan 5 finalis daripada negara China, Korea Selatan, Singapura, Thailand dan India.

Berita gembira ini telah disahkan oleh adik Shila iaitu Syahir Hamzah menerusi twitter peribadi miliknya dengan menyatakan perasaan syukur terhadap kemenangan kakaknya itu.

Berikut adalah petikan twitter milik adik Shila:
Alhamdulillah. @Shilaamzah is a Champion for Asian Wave 2012!! Thanks for you guys for voting :) Lets trending #TahniahShilaAmzah :)

Shila Amzah berjaya memukau juri dengan membawakan 3 lagu iaitu Gemilang (Jaclyn Victor), Grenade (Bruno Mars) dan sebuah lagu Mandarin. -MURAI.com

Isnin, 17 September 2012

Yuna Tercalon Dalam MTV European Music Award (EMA) 2012



Ini bukan kali pertama Yuna tercalon dalam anugerah bertaraf antarabangsa apabila sebelum ini menjadi salah seorang calon dalam 25th Nickelodeon Kids’ Choice Awards.

Kali ini, berani kami katakan yang pencalonan Yuna lebih serius dalam MTV European Music Awards (EMA) 2012 yang akan berlangsung pada 11 November 2012 nanti.

Yuna akan merebut gelaran Best Asian Act di MTV EMA 2012 bersama sama empat calon yang tidak kurang hebat termasuk Super Junior, EXILE, Han Geng & Jolin Tsai.

Undian secara atas talian untuk semua kategori telah dibuka bermula hari ini sehingga 9 November nanti dan menjadi tugas anda untuk memastikan kemenangan Yuna.

Alihkan skrin komputer anda ke http://www.mtvema.com/vote untuk undi Yuna sekarang dan nampaknya mereka tidak menghadkan jumlah undian dalam satu-satu masa.

Rabu, 12 September 2012

Paris Hilton Memeluk Islam?



JEDDAH, Arab Saudi – Artis terkenal, Paris Hilton telah menukar agama kepada islam menurut jurucakap beliau, Ian Brinkham melalui media CBS.

Dengan menukar agama kepada islam, beliau telah mengambil keputusan untuk meninggalkan cara hidup lama sebagai selebriti dan artis terkenal.

Katanya “saya telah menemui kedamaian dalam hidup saya selepas menganut islam. Sebelum ini, saya lebih dikenali sebagai seorang yang tidak bermoral, rendah akhlak dan sanggup melakukan kerja-kerja kotor, tetapi sekarang semua itu sudah berubah. Pujian hanya kepada Allah”.

Paris Hilton telah menukar namanya kepada ‘Tahirah’ yang bermaksud suci dalam bahasa arab. Beliau telah mula menghadiri kelas agama islam pada Julai lalu.

Tindakan mengejut Paris Hilton ini pastinya akan menjadi igauan buruk bagi selebriti-selebriti terkenal yang lain. -Sumber

Zizan Bakal Sertai Stesen Radio Era



Selepas pelakon filem Ombak Rindu, Aaron Aziz menyertai radio Era FM untuk segmen Doktor Cinta, pelakon dan pelawak terkenal, Zizan Razak (gambar) pula bakal menghangatkan lagi radio nombor satu negara itu.

Perkara itu disahkan oleh Pengurus Saluran Era FM, Nazri Noran kepada Kosmo! semalam, namun perbincangan dengan Zizan masih berjalan dan pihaknya masih mencari slot yang sesuai supaya tidak bertindih dengan waktu kerja pelakon filem Mael Lambong itu.

“Perancangan untuk ambil Zizan sebagai penyampai jemputan seperti Aaron memang ada tetapi masih dalam perbincangan. Kami belum putuskan dia akan masuk mana-mana slot lagi,” ujarnya.

Menurut Nazri, apa yang pasti Zizan tidak akan digandingkan dengan Johan Raja Lawak atau nama sebenarnya Mohd. Yazid Lim Mohamad Aziz yang ketika ini merupakan salah seorang penyampai Era FM.

“Zizan tidak akan bergabung dengan Johan sebagai Jozan tetapi akan bersama mana-mana penyampai lain untuk satu slot yang berbeza,” ujarnya.

Bermula Jumaat ini, Aaron akan ke udara di Era FM setiap minggu bermula pukul 9 malam hingga 11 malam di slot Meletop 40 Era bersama DJ Shac.

Pada slot tersebut, Aaron akan menjadi doktor cinta untuk menyelesaikan masalah cinta pendengar radio berkenaan.

Johan pula akan ke udara setiap hari Isnin hingga Jumaat bermula 6 pagi hingga 10 pagi bersama dua lagi penyampai lain iaitu Ray dan Haniff.

Sementara itu, Zizan ketika ditanya mengenai penyertaannya bersama radio Era menganggap perkara itu sebagai peluang baru bagi mengembangkan kerjayanya.

“Kami masih berbincang dan saya tengah mempertimbangkan tawaran berkenaan, lagi pun saya kena cari waktu yang sesuai supaya tidak bertindih dengan jadual lakonan saya ” ujarnya

Ketika ditemui pada sidang akhbar pementasan Lawak Ke Der 2 di Istana Budaya semalam. Tambahnya, dia sebelum ini selalu mendengar keletah rakannya, Johan di radio berkenaan dan beranggapan ia adalah satu perkara yang sukar dilakukan.

“Kalau saya ke udara nanti, ia mungkin seminggu sekali sahaja seperti Aaron tetapi tidak tahu lagi hendak jadi doktor apa,” jelasnya. –Kosmo Online

Ahad, 9 September 2012

Maher Zain Berlakon Drama Di Indonesia



Sinetron "Insya-Allah Ada Jalan" yang dibintangi penyanyi nasyid yang berasal dari Sweden, Maher Zain, telah ditayangkan di tujuh negara secara serentak pada Ramadhan yang lalu.

Menyambut Ramadan, selain ditayangkan di Indonesia melalui stesen SCTV , sinetron yang diproduksi bersama DNA Production dan Sony Music Entertainment Indonesia ini juga ditayangkan secara serentak di Malaysia, Australia, Arab Saudi, Singapore, Brunei Darusalam dan New Zealand.

Selain Maher Zain, sinetron sepanjang 40 episod ini juga dibintangi Fadly, vokalis band Padi, serta 120 pelakon lainnya sebagai pelakon tambahan. Maher dan Fadly akan melakonkan watak sebagai diri mereka sendiri. Maher juga turut menyumbang menyanyikan lagu-lagunya dalam sinetron ini.

''Selama proses pembuatan, SCTV sangat membantu dalam pengembangan cerita. Bu Siwi sangat cerewet, tetapi itu justeru membuat cerita sinetron ini menjadi sangat terjaga kualitinya,'' kata Rina Novita, Pengarah Eksekutif DNA Production.

Harsiwi Achmad, Pengarah Program dan Produksi SCTV memang selalu berupaya agar setiap program yang ditayangkannya tetap terjaga kualitinya.

''Saya selalu berpesan, agar tidak menghalalkan segala cara untuk memperoleh rating yang tinggi dalam setiap program yang ditayangkan di SCTV. Kualitas harus tetap terjaga. Nyatanya, dengan tayangan yang kualitasnya terjaga, rating dan share yang kita peroleh juga bisa tetap tinggi,'' katanya.

Setiap episod, kata Rina, mempunyai cerita yang berbeza-beza. Ceritanya tentang kehidupan sehari-hari, setiap masalah diselesaikan dengan indah di akhir cerita. Rina berharap setiap cerita yang ditayangkan dapat menjadi inspirasi bagi para penonton untuk menyelesaikan masalah yang mereka hadapi.

Rina mengakui berhadapan dengan cabaran berat dalam memproduksi sinetron itu, tapi menyenangkan.

''Maher sangat ketat. Setiap adegan selalu didahului dengan diskusi cukup lama, bisa sampai 1 jam. Maher bahkan selalu menanyakan rujukan hadist dan ayat Alquran di setiap adegan itu. Setelah dia yakin, baru dia main,'' kata Rina menceritakan pengalamannya melakukan pengambaran dengan Maher.

Insya Allah Ada Jalan bercerita mengenai perjalanan seorang lelaki (Maher Zain) untuk mencari sahabatnya, Basofi, di Indonesia. Kebetulan Maher mempunyai kenalan bernama Fadli. Sambil terus mencari Basofi, dia mengajak Fadli melakukan perjalanan keliling ke berbagai tempat di mana dia boleh mendapatkan pelajaran tentang agama dari kisah-kisah orang yang dijumpainya.

Puisi Monolog - Kau Yang Terindah



[ Alisya ]
Duhai Tuhan..
Jika dengan melepaskan cintaku maka aku akan memperolehi kewarasanku, maka biarlah aku menjadi begini seumur hidupku..

[ Firman ]
Duhai Tuhan..
Andai aku mampu padamu saat ini, aku ingin kau ambil seluruh cinta yang ada pada diriku biarlah aku hidup tanpanya..

[ Syamil ]
Duhai Tuhan..
Meskipun sudah bertahun dia mengikat tali cintaku tanpa sebuah makna, biarkanlah cintaku tumbuh, biarkanlah dia terus merekah dan mekar, meskipun aku telah layu dan mati.

Sabtu, 8 September 2012

Nurul Syuhada Tinggalkan TV3



Personaliti TV3, Nurul Syuhada Nurul Ain Mohd Zin menjelaskan peletakan jawatannya sebagai wartawan penyiaran di stesen televisyen itu bukan kerana imejnya yang sudah berhijab.

Nurul Syuhada, 28, sebaliknya berkata, keputusan itu dibuat kerana dia ingin memberi tumpuan kepada perkara lain serta berhasrat menyambung pelajarannya pada peringkat sarjana dalam bidang Psikologi atau Tamadun Islam.

“Peletakan jawatan saya tiada kena mengena dengan perubahan saya sekarang sebaliknya pihak pengurusan TV3 juga menyambut baik penghijrahan itu."

"Lagipun sepanjang enam tahun bersama TV3, mereka sentiasa menyokong saya,” katanya kepada mStar Online ketika ditemui pada majlis Rumah Terbuka Media Prima Berhad di sini pada Khamis.

Peletakan jawatan tersebut berkuat kuasa Jumaat (kelmarin). Dalam pada itu, Nurul yang juara Malaysian Top Host memberitahu dia juga akan melepaskan tugasnya sebagai pengacara Majalah Tiga dan hanya akan berkhidmat secara sambilan untuk program Malaysia Hari Ini (MHI).

Nurul memberitahu dia sedih dengan keputusan itu tetapi mempunyai perancangan lain selepas lebih setahun mendirikan rumah tangga termasuklah memikirkan hasrat menimang cahaya mata.

"Sedih memanglah kerana terpaksa tinggalkan kerjaya yang amat saya cintai. Tetapi saya anggap ini sebagai satu perubahan dalam hidup untuk menjadi seorang yang lebih baik," katanya.

Pada 2 September lalu, Nurul dan TV3 membuat permohonan maaf secara terbuka selepas dikritik kerana ulasannya dengan menyebut bandar Bintulu, Sarawak yang akan menjadi lokasi sambutan Hari Malaysia pada 16 September depan sebagai bandar daif sebelum ini.

Ulasan itu dibuat ketika beliau mengadakan lintas langsung sempena perarakan Hari Kemerdekaan ke 55 pada 31 Ogos lalu.

Dalam permohonan maaf itu Nurul tidak bermaksud menghina bandar tersebut sebaliknya ia telah disala tafsir oleh orang ramai.

Nurul yang telah berkahwin dengan Raja Amir Syah Raja Azwa, 30, pada 16 Julai 2011, memulakan tugasnya di TV3 sebagai pengacara Nona. -mStar

Khamis, 6 September 2012

Rahsia Zarina Zainudin Kekalkan Awet Muda



Pelakon dan model, Datin Seri Zarina Zainuddin yang pernah mencetuskan kontroversi pada tahun 1980-an dengan gambar-gambar seksinya berkata dia kelihatan awet muda kerana mengamalkan tidur awal setiap malam biarpun kini sudah berusia 40 tahun.

Menurut ibu kepada empat anak lelaki berusia lima hingga 15 tahun ini, dia yang kini masih aktif berlakon akan tidur selewat-lewatnya pada pukul 12 malam dan bangun selewat-lewatnya pukul 6 pagi bagi mengekalkan kesegaran dan awet muda yang dimilikinya sehingga kini.

“Saya tidak pernah bangun lewat selepas 8 pagi kerana jika tidak badan saya akan menjadi lemah dan kurang bermaya. Selepas bangun tidur saya akan minum air suam segelas dan kemudiannya mandi dan solat subuh. Saya juga amalkan selawat dan sapukannya pada bahagian muka."

“Selain itu, saya juga menjaga muka saya dengan membersihkannya dengan scrub dan mask, lulur badan di spa, waxing, manicure, pedicure dan menjaga kebersihan rambut. Paling penting untuk penjagaan kulit saya gunakan produk saya sendiri iaitu Addura yang terbukti berkesan,” ujarnya.

Pada masa sama zarina turut mengamalkan petua kecantikan yang diperturunkan oleh ibunya iaitu dengan menggunakan produk Jamu Bonda Basah Special yang dibuat sendiri oleh ibunya bagi mengekalkan kecantikan pelakon itu yang terserlah sehinggalah ke hari ini.

Selasa, 4 September 2012

Wawa Anak Emas MMP



BERNAUNG sebagai residen artis di bawah label produksi terkenal, Metrowealth Movies Production Sdn Bhd (MMP) nyata pilihan tepat buat kebanyakan pendatang baru industri seni. Apatah lagi, produksi milik David Teo ini begitu aktif dalam penghasilan filem dan drama untuk tatapan penonton tempatan.

Malah, sejak beberapa tahun ini filem terbitan MMP dilihat mendominasi tayangan di pawagam. Bahkan, boleh dikatakan setiap bulan ada saja filem terbitannya ditayangkan. Tidak terkecuali, pasti ada ‘muka baru’ turut diketengahkan bakat lakonan mereka kepada penonton.

Justeru, kini nama bintang meningkat naik seperti Wawa Zainal bukanlah asing lagi di kalangan peminat industri hiburan tanah air.

Biarpun masih baru dan giat menimba pengalaman dalam lakonan, namun tawaran buat mereka membintangi filem nyata tak putus. Ada saja peluang diberikan David.

Wawa atau nama sebenarnya Nur Hawa Zainal Abidin kini dilihat umpama ‘anak emas’ buat MMP selepas aktres jelita, Lisa Surihani. Bukan saja berbakat, bahkan wajah jelita Wawa turut membuka ruang kepadanya dipilih menjadi duta produk jenama terkenal. Kini, dua produk dalam genggamannya.

Bersua Wawa pada sesi fotografi dengannya, baru-baru ini, gadis manis berusia 21 tahun itu memaklumkan dia kini menjadi duta produk untuk Lip Ice dan Syahirah.

Katanya, tiada apa yang mampu diungkapkan selain bersyukur dengan rezeki diperoleh walaupun pembabitannya dalam industri seni tanah air masih baru.

“Saya mengikat kontrak dengan MMP selama lima tahun. Namun, dalam tempoh dua tahun ini nampaknya saya semakin mendapat peluang untuk menyerlahkan bakat lakonan. Malah, paling tidak saya duga apabila dipilih sebagai duta untuk produk ternama seperti Lip Ice dan Syahirah."

“Kini, saya akui jadual memang agak padat. Selain sibuk dengan penggambaran, saya juga kena turun padang untuk sesi promosi produk. Begitupun, sekarang saya amat gementar menunggu reaksi penonton untuk lakonan dalam filem komedi, Seram Sejuk yang kini berada di pawagam sejak 19 Ogos lalu."

“Saya tak nafikan amat teruja dengan filem ini kerana pertama kali mendapat peluang melakonkan watak utama. Apapun, watak Ros itu memerlukan saya menjadi gadis gedik yang manja. Ia agak sukar, tetapi saya berusaha memberikan lakonan terbaik dan mengikut saja apa yang disuruh pengarah, Azhari Zain."

“Jadi, apa yang merisaukan saya adalah pandangan penonton. Namun, sebagai seorang pelakon yang masih baru, saya sedar banyak yang harus dipelajari untuk menimba pengalaman. Saya harap lakonan akan disukai dan pada masa sama turut bersedia menerima sebarang kritikan penonton,” katanya.

Menyentuh soal persaingan kerana Wawa kelihatan lebih menonjol berbanding pelakon baru di bawah MMP, kata anak jati dari Lahad Datu, Sabah ini, baginya semua orang mempunyai peluang.

Katanya, dia juga tidak nampak wujudnya persaingan kerana mereka umpama satu keluarga.

“Kalau ada persaingan pun, ia sesuatu yang sihat. Bagaimanapun, setakat ini saya masih belum puas dengan tahap lakonan dipersembahkan. Ini kerana, bagi saya setiap watak dilakonkan itu adalah proses pembelajaran. Jadi, rasanya masih banyak kekurangan yang perlu saya perbaiki untuk lebih bagus lagi."

“Kini, saya mengharapkan peluang melakonkan watak berat. Ia pasti lebih menguji sejauh mana mutu lakonan saya. Apapun, saya akan bersabar menunggunya,” kata Wawa yang memiliki lesung pipit.

Malah, Wawa juga dikenali menerusi drama seperti Klik, Bunga Dari Syurga dan terbaru, Takdir Qismah di TV3.

Ahad, 2 September 2012

Nurul Syuhada Perlu Minta Maaf Dengan Rakyat Sarawak-Bintulu



BINTULU – Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Sarawak mahu pengacara TV3, Nurul Syuhada Nurul Ain meminta maaf secara terbuka atas kenyataannya semasa lintas langsung stesen itu yang menyatakan Bintulu sebagai sebuah kawasan daif.

Naib Ketua Pemuda PBB, Pandi Suhaili di dalam satu kenyataan di sini hari ini berkata kenyataan maaf tersebut patut dibuat secara terbuka bagi meredakan kemarahan penduduk Bintulu.

Bintulu bakal menjadi tuan rumah perayaan sambutan Hari Malaysia peringkat kebangsaan pada 16 September ini.

“Pemuda PBB Sarawak berkeinginan untuk melihat Nurul Syuhada membuat maaf melalui TV3 memandangkan kenyataan mengenai Bintulu dilakukan oleh beliau ketika menjadi pengacara semasa lintas langsung sempena sambutan Hari Merdeka dari Dataran Merdeka semalam, ” katanya dalam kenyataan yang dihantar kepada Bernama.

Pandi berkata, Nurul Syuhada kurang arif mengenai Bintulu sehingga menyebabkan beliau beranggapan bahawa bandar Bintulu sebagai daif walhal Bintulu merupakan penyumbang utama kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia dengan hasil gas dan minyaknya.

Katanya Bintulu sudah lama membangun dan Pemuda PBB Sarawak agak kesal apabila orang Malaysia sendiri tidak mengetahui keadaan dan kedudukan Bintulu sehingga beranggapan ianya jauh di pedalaman.

Oleh yang demikian, katanya personaliti TV3 itu perlu berusaha untuk menjadi wartawan yang membuat laporan berdasarkan penyelidikan yang rapi.

“Diharap pihak pengurusan TV3 akan memastikan bahawa perkara seumpama ini tidak akan berlaku lagi di masa hadapan,” katanya.

Sementara itu kenyataan tersebut menjadi perbualan aktif dalam media sosial seperti Facebook dengan satu akaun khas ‘Sila Mohon Maaf secara terbuka Cik Nurul Syuhada & TV3′ dibuat yang kini mendapat sokongan lebih 2,000 ahli termasuk seorang Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Sarawak.

Turut merasa tempias ialah akaun FB MHI TV3 yang mendapat reaksi negatif dari penduduk negeri ini dengan menyatakan rasa tidak puas hati dengan kenyataan pengacara tersebut dan mahu beliau minta maaf dibuat secara terbuka. – MStar

Rabu, 29 Ogos 2012

Gangnam Style?



TTV rasa semua pun dah tahu bila kita sebut pasal "Gangnam Style" ni, sebab ia da menular menjadi suatu fenomena di seluruh dunia. Ye tak? ~_^

"Gangnam Style" menjadi kegilaan ramai kerana muziknya yang catchy, humor yang diterapkan dalam muzik videonya dan juga kerana gerakan tarian yang pelik tapi ringkas dari PSY. Di release pada 15 Julai 2012 dan terus menduduki tangga pertama dalam carta Gaon Chart di Korea.

Sebulan selepas itu, pada 17 Ogos 2012, "Gangnam Style" dengan rasminya mendapat tempat pertama dalam KBS Music Bank di Korea.



Perkataan "Gangnam Style" dalam bahasa Korea sebenarnya merujuk kepada gaya hidup mewah penduduk daerah Gangnam, sebuah kawasan yang sangat berpengaruh di Seoul.

"오빤 강남 스타일 (Oppan Gangnam style)" yang menjadi sebahagian dari lirik lagu ini membawa maksud "Saya adalah gaya Gangnam yang diminati wanita". Perkataan 오빠 (oppa), biasanya digunakan oleh wanita sebagai kata ganti diri buat lelaki yang lebih tua atau lebih mudah "Abang".

Selasa, 28 Ogos 2012

Tauke Raja Lawak Sah Bercerai



Perkahwinan merupakan fitrah semulajadi yang Allah anugerahkan dalam diri setiap lelaki mahupun perempuan.

Ketika nabi Adam tinggal di Syurga, baginda melihat semua makhluk lain berpasangan sedangkan baginda keseorangan. Lantas, Allah yang Maha Mengetahui isi hati Adam menciptakan Hawa sebagai penghibur dan teman Adam.

Namun tidak semua perkahwinan itu berakhir hingga ke akhir hayat kerana apa yang berlaku sudah semestinya mengikut ketentuan dariNya.

Itulah yang berlaku kepada Tauke yang terkenal menerusi racangan realiti televisyen Raja Lawak, bahawa dia sudah melafazkan cerai talak satu ke atas bekas isterinya Meera, 23, pada 12 Ogos lalu.



Menurut Tauke, dia sudah tiada apa-apa hubungan dengan bekas isterinya dan memang dia sudah kembali solo sejak dua minggu yang lalu.

Sebelum ini kecoh mengatakan mereka sudah tidak tinggal sebumbung dan khabarnya Tauke juga sudah lama tidak bertemu Meera.

“Memang benar sebelum ini rumah tangga kami dilanda krisis agak besar apabila dia keluar rumah dengan membawa semua pakaiannya, pada bulan Julai lalu dan puncanya biarlah saya rahsiakan saja,” katanya yang dipetik melalui Sinar Harian Online, semalam.

Untuk makluman, Meera merupakan perkahwinan ketiga Tauke. Hasil perkahwinan pertama dan kedua sebelum ini, Tauke memiliki enam orang cahaya mata.

Tauke dan Meera dikatakan telah berkahwin pada bulan April yang lalu di Thailand.

Sumber: Sinar Harian Online

Nama Anak Que Haidar Tiada Kaitan Dengan Ratu Firaun



PETALING JAYA: Pelakon Que Haidar menyifatkan individu yang mempersoalkan nama anak keduanya iaitu Tengku Cleopatra Haidar yang dikatakan menyerupai nama Firaun sebagai tidak masuk akal.

Que berkata, nama tersebut dipilih berdasarkan maksudnya daripada bahasa Greek yang menggambarkan seorang wanita cekal dan berkepimpinan tinggi.

"Semasa membuat pemilihan nama itu saya dan isteri langsung tidak terfikir tentang kaitan nama itu dengan seorang ratu Firaun sebaliknya lebih tertumpu kepada gambaran seorang wanita yang tabah dan cekal dalam kehidupannya.

"Apabila orang mengatakan saya memberi nama yang tidak elok kepada anak, ia satu tuduhan yang tidak betul. Ibu bapa tidak akan berbuat demikian malah kita sentiasa mahukan yang terbaik buat zuriat kita," ujarnya kepada mStar Online .


Que diminta mengulas tuduhan kononnya dia dan isteri, Linda Jasmine tidak sensitif terhadap pemilihan nama anak yang dikatakan menyamai nama ratu Firaun semasa pemerintahan kerajaan Mesir Purba iaitu Ratu Cleopatra VII.

Tambah Que, pemilihan tersebut dibuat atas persetujuan dengan isterinya dan tuduhan-tuduhan yang dilemparkan kepada mereka dibuat tanpa sebarang usul periksa.

Dalam pada itu, Que memberitahu apa yang lebih penting anak yang dilahirkan itu adalah seorang Islam dan tumpuannya kini adalah untuk membesarkannya dengan didikan agama yang kuat supaya menjadi seorang Muslim yang sejati.

Que berkata, dia tidak terlalu memberikan perhatian terhadap apa yang dikatakan oleh masyarakat terhadap perkara itu sebaliknya ingin terus berusaha untuk membesarkan anak-anak.

"Saya sendiri yang iqamatkan anak-anak saya dan mereka adalah seorang Islam. Apa yang lebih penting bagaimana anak-anak saya dibesarkan dan bukannya pada nama," katanya.

Sementara itu, Que memberitahu mereka belum bersedia untuk memperkenalkan anaknya itu kepada umum dan hanya akan berbuat demikian semasa majlis cukur jambul selepas Hari Raya Aidilfitri ini nanti.

Tengku Cleopatra Haidar atau lebih mesra dengan sapaan Cleo dilahirkan pada 26 April lalu secara pembedahan di Hospital Gleneagles Kuala Lumpur.

Selain Cleo, pasangan itu turut dikurniakan seorang lagi anak perempuan iaitu Tengku Ratu Haidar, 2 selain Qalif Khan, 12, iaitu anak pertama Linda bersama bekas suami.

Linda dan Que itu berkahwin pada 14 Februari 2009.

Isnin, 27 Ogos 2012

Bakat Emma Dapat Perhatian



Nama Emma Ma’embong semakin meningkat naik menerusi drama Kau Yang Terindah arahan Erma Fatima di samping pelakon Neelofa, Nazim Othman dan Hafil Andrio Putra.

Di dalam drama berkenaan Emma melakonkan watak sebagai pelajar kolej yang sudah terlanjur dengan buah hatinya.

Walaupun mereka sudah bersetuju untuk berkahwin, namun ia mendapat halangan daripada kedua-dua pihak keluarga.

Selain bergelar pelakon, Emma yang kini berusia 20 tahun turut mempunyai bakat dalam aktiviti melukis dan bidang peragaan.

Dengan memiliki wajah pan-asian (Scotland dan Malaysia), bakat lakonan Emma dipercayai boleh pergi jauh lebih-lebih lagi dengan usianya yang masih muda itu.

Mungkin selepas drama ini Emma bakal menerima watak sebagai pelakon utama pula?

Saksikan drama Kau Yang Terindah yang masih hangat ditayangkan di TV3 setiap hari Isnin hingga Khamis dari pukul 7.00 malam sehingga 8.00 malam.

Obie, Penyampai Radio KKFM Kelahiran Tuaran



TTV rasa ramai yang dah kenal dengan gadis ini yang suatu ketika dulu pernah menjadi penyampai dalam rancangan terbitan RTM Sabah, Lambai Limbai dan Jom Pi.

Obie atau nama sebenarnya Sohbierah Ghulabdin, 26, kini bertugas sebagai penyampai untuk siaran radio tempatan KKFM.

Anak kelahiran Tuaran ini merupakan seorang yang mesra dan gemar bercakap, tidak hairanlah jika Obie dengan mudah menempatkan diri dalam bidang penyiaran dan mempunyai peminat tersendiri.

Pepatah "Dont judge a book by its cover" amat bersesuaian dengan Obie. Kerana siapa sangka disebalik wajah manisnya (Cer tengok gambar bawah ni, ada iras-2 Intan Ladyana tak), Obie sebenarnya adalah seorang yang aktif.



. : Kata TTV : . Hari ini merupakan hari ulangtahun kelahiran Obie. Selamat Hari Lahir buat Obie. Semoga panjang umur, dimurahkan rezeki dan dikurniakan kesihatan yang baik. Semoga Obie terus berjaya dengan kerjayanya dalam bidang penyiaran dan menjadi ikon buat anak-2 Tuaran yang lain mengikut jejak langkahnya mengharumkan nama Tuaran.

Ahad, 26 Ogos 2012

Ustaz Don Belum Merancang Lokasi Bulan Madu



PENCERAMAH popular, Don Daniyal Don Biyajid, 28, mengakui alam perkahwinan yang baru dilaluinya itu ibarat melengkapkan imannya.

“Malah perkahwinan juga ibarat pembuka kepada mata hati dan seterusnya dapat memantapkan iman termasuklah keenam-enam rukunnya,” katanya yang berseri-seri ketika ditanya wartawan mengenai perkahwinannya bersama isteri tersayang, Husna Mohd Zahry, 24.

Beliau yang lengkap dengan baju Melayu dan bersongkok ditemui Sinar Harian ketika majlis resepsi di sebelah rumah pengantin perempuan yang terletak di Taman Jelita Kuala Sungai Pinang.

Husna yang manis mengenakan baju kurung moden berwarna putih krim mengucapkan tanda syukur atas jodoh pertemuannya dengan penceramah agama itu.

“Alhamdulillah, saya bersyukur akhirnya kami dinikahkan dan telah bergelar suami isteri,” katanya.

Don yang lebih popular dengan panggilan Ustaz Don mengakui masih tidak memikirkan lokasi bulan madunya bersama Husna.

Pasangan pengantin sama padan itu juga akan berjauhan seketika selepas ini apabila Husna dijangka kembali ke Mesir bagi menyambung tahun akhir pengajian perubatannya di sana.

Ustaz Don berkata, dia masih belum tahu bagaimana perjalanan hidupnya bersama Husna sekiranya berjauhan nanti.

“Mungkin saya akan ke sana ataupun tidak itu masih belum dirancang, semuanya atas ketentuan Allah, insya-Allah,” katanya.

Hampir 30 ahli keluarga turut mengiringi pengantin lelaki ke rumah pengantin perempuan semalam.

Dalam pada itu, bapa Husna, Mohd Zahry Shaikh Abdul Rahman berkata, majlis kenduri diadakan di rumahnya bagi membolehkan kenalannya termasuk penduduk Balik Pulau beramah mesra dengan Ustaz Don.

“Saya amat seronok kerana dalam majlis kenduri ini peminat Ustaz Don sendiri boleh mengenali dia dengan lebih dekat,” katanya.

Ketika ditanya sama ada mengetahui percintaan Husna dan juga Ustaz Don, Mohd Zahry mengakui perkenalan antara anak dan menantunya itu ketika berada di Mesir.

“Ini kisah orang muda, mereka telah bertunang pada tahun lalu dan sebelum itu mereka ada mengenali hati budi satu sama lain dalam tempoh dua hingga satu tahun."

“Walau apa pun saya mahu hubungan ini sentiasa diredhai Allah dan memohon supaya anda dapat mendoakan kebahagiaan mereka berkekalan,” katanya.

Hampir 2,500 tetamu menghadiri majlis kenduri di Balik Pulau semalam, dan dijangka majlis resepsi Ustaz Don akan diadakan pada 1 September 2012 di Dewan Kuis.

Shiha Tak Kisah Berniaga



Apa saja yang dilakukan Naib Juara Mentor musim kelima, Nurshiha Mohd Zikir atau Shiha, 25, ini bukan untuk dirinya semata-mata tetapi juga demi ibu tersayang, Rohana Ibrahim.

Malahan selepas bergelar anak seni sekalipun, protege Datuk Sharifah Aini ini tak kisah untuk menjalankan perniagaan itu dan ini. Menyedari dirinya yang masih bertatih dalam industri seni, Shiha tidak betah duduk diam.

Terbaru sejak enam bulan lalu, Shiha menjalankan perniagaan kanta lekap dipanggil Shiha Collect Glam. Shiha perlu bekerja keras untuk mencari sandaran lain sebagai punca rezeki selain bergantung harap kepada kerjaya seni.

“Ikutkan sebelum masuk Mentor lagi Shiha sudah kerap berniaga termasuk membantu ibu menguruskan gerai menjual cucur udang dan laksa di Penang. Dua tahun Shiha buat kerja itu. Sambil buat kerja sekolah, Shiha tolong jual makanan berkenaan."

“Dua tahun lalu pun, Shiha pernah berniaga jubah dan telekung. Tahun lalu Shiha pernah jual kuih Makmur buatan sendiri. Memang Shiha jenis suka berniaga. Shiha tak malu dan muka tebal. Buat apa nak dimalukan. Shiha buat kerja halal. Sejak usia 18 tahun, Shiha sudah mula berdikari."

“Macam perniagaan kanta lekap ini, semuanya bermula selepas Shiha sendiri pakai. Ada kawan tanya, Shiha beli mana dan mereka minta belikan. Daripada jual kepada kawan, Shiha tergerak hati menjualnya kepada pembeli berpotensi. Kalau nak tengok koleksi kanta lekap boleh ke Facebook, Shiha Collect Glam,” katanya dalam pertemuan majlis berbuka puasa anjuran syarikat pengurusannya, 8 Unit dan label Monkey Bone.

Tambah Shiha, dia tidak berselindung masih berdepan dengan cemuhan dan cakap cakap belakang sesetengah pihak yang menyifatkan dirinya cukup terdesak menjalankan perniagaan biarpun selepas mencipta nama sebagai anak seni. Tapi ia langsung tak jadi kudis buat penyanyi yang baru muncul dengan album mini sebelum puasa.

“Ada yang mempersendakan saya dengan cakap tak malukah buat kerja berniaga. Ada yang cakap saya terdesak. Saya tidak terlalu melayan perasaan dengan hal sedemikian. Saya kena kuat. Saya kena kerja kuat untuk buat emak gembira. Saya kena cari duit untuk sara keluarga."

“Insya-Allah, saya mempunyai impian untuk membuka butik suatu hari nanti. Dapat jual baju dan kasut tinggi pun okey. Macam sekarang ini, saya dan emak menyewa di sebuah rumah. Tapi saya sendiri sudah melakukan ubah suai di beberapa sudut di rumah untuk kesenangan emak. Hati seronok bila tengok muka emak tersenyum,” katanya yang mengikat kontrak dua tahun bersama 8 Unit.

Sekalipun sudah berniaga, cabang seni yang disertainya tidak sesekali dijadikan alternatif. Ia masih menjadi kecintaannya. Shiha pernah menyertai prelude Akademi Fantasia (AF) musim ketiga termasuk uji bakat AF6 dan AF7. Shiha juga pernah menyanyi di Restoran Cerana, Cheras, selama empat tahun selain menyanyi di hotel.

“Shiha percaya setiap jalan yang kita pilih pasti ada susah dan senangnya. Tak Shiha nafikan ada kalanya jalan yang Shiha pilih ini susah. Tapi kesusahan itu belakang kira. Shiha kena terus tegar berusaha. Macam selepas selesai Mentor, Shiha sibuk di studio merakamkan lagu."

“Kemudian sementara tunggu album siap, Shiha cuba nasib sertai uji bakat Jalan Jalan Cari Makan (JJCM). Shiha sendiri tak sangka dapat mengacarakan program yang dikendalikan Kak Maria Tunku Sabri itu. Shiha ke uji bakat dan diterima jadi hos selepas menyertai sesi senarai pendek sebanyak tiga kali."

“Mengacarakan JJCM menjadi pengalaman berharga. Sepatutnya kontrak awal JJCM untuk 13 episod:saja tetapi diminta sambung lagi 7 episod menjadi keseluruhannya 20 episod,” katanya.

Mengimbas kembali perjalanan dirinya, Shiha memberitahu ada sebab untuk dia mahu membuktikan bidang seni bukan sekadar hangat hangat tahi ayam. Arwah bapanya sendiri mahu melihatnya menjadi penyanyi. Arwah bapanya meninggal dunia pada 14 November 2008.

“Shiha bukan datang daripada keluarga senang. Dulu selepas peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Shiha dapat sambung belajar dalam bidang doktor sukan. Tetapi tawaran itu terpaksa dilepaskan sebab keluarga tak mampu nak sokong. Daripada situ, Shiha diberi alternatif, jika betul-betul nak.menyanyi Shiha kena buktikan,” kata gadis kelahiran Pulau Pinang itu.

Mengenai sambutan raya, Shiha meraikannya di kampung halaman di Pajak Song, Kepala Batas, Pulau Pinang. Anak bongsu daripada tiga beradik itu diberi pelepasan selama seminggu untuk berhari raya.

Ella Teruja Beraya Bersama Keluarga Suami



PETALING JAYA: Penyanyi Ella atau nama sebenarnya Norzila Aminudin teruja dapat bertemu dengan sanak saudara sebelah suaminya bersempena Hari Raya Aidilfitri ini.

Ella, 46, berkata, kesempatan Syawal ini digunakan sebaiknya untuk melawat semua sanak saudara yang tidak dapat menghadiri majlis pernikahannya dengan Azhar Ghazali, 30-an, pada 7 Julai lalu.

"Ini adalah masa sesuai untuk saya berjumpa saudara mara sebelah suami dan mengenali mereka dengan lebih dekat."

"Paling penting mereka melayan saya dengan baik dan langsung tidak berasa kekok," ujarnya kepada mStar Online.

Dalam pada itu, Ella berkata sambutan Hari Raya pertama bersama suaminya terpaksa disingkatkan kerana kedua-dua mereka terikat dengan kerjaya masing-masing.

Bagaimanapun kata Ella, dia bersyukur dapat mencium tangan seorang suami di pagi raya dan meraikannya di Muar, Johor.

"Kami berdua ada komitmen terutama suami yang bertugas sebagai juruterbang tetapi tidak mengapa kerana sekurang-kurangnya pada dua hari pertama Syawal kami dapat bersama," katanya.

Masih lagi dalam proses menyesuaikan diri sebagai isteri, Ella mengakui perkahwinan yang dilalui banyak mengubah dirinya sebagai seorang wanita.

"Kehidupan selepas sebulan berumah tangga sangat menyeronokkan tetapi masih banyak perkara yang perlu saya pelajari dan ia perlu dilakukan secara perlahan-lahan."

"Jika sebelum ini saya tidak perlu meminta pendapat orang lain tentang sesuatu perkara atau membuat keputusan kini saya perlu berbincang dengan suami terlebih dahulu," katanya.

Sementara itu, ditanya mengenai perkembangan terbaru Ella bakal muncul dengan single duet bersama protogenya iaitu Caroline selain satu projek istimewa bersama Lan (Typewriter), Krisdayanti dan Ajai.