Sabtu, 25 Ogos 2012

Semangat Merdeka Pak Asyiem Songkok



KUALA LUMPUR: Biarpun termengah-mengah akibat penyakit asma yang kerap berulang, namun Hashim Mohamad atau lebih dikenali dengan panggilan Pak Asyiem Songkok tekad meneruskan tradisi Merdeka yang diciptanya sejak lebih 29 tahun lalu.

Hashim, 55, pesara Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang cukup popular dengan semangat patriotik di kalangan penduduk Perumahan Pantai Permai, Pantai Dalam, di sini, memang tidak pernah ketinggalan mencipta keunikan setiap kali sambutan Hari Kemerdekaan.

Menurutnya, walaupun keadaan diri kurang sihat, tetapi itu tidak menghalang untuk dia terus bersemangat menghias rumah dan keretanya menggunakan Jalur Gemilang.

“Berbeza dengan tahun sebelumnya, saya terpaksa mengehadkan pergerakan kerana masalah kesihatan. Jadi buat masa ini, hanya rumah yang sempat dihias dengan Jalur Gemilang, sementara kereta akan dihias minggu depan,” katanya.

Hashim yang berasal dari Kampung Belimbing Dalam, Durian Tunggal, Melaka, berkata, minat memasang bendera wujud sejak dia memperoleh bendera Malaysia pada 1983.

“Ketika itu, hendak mendapatkan sehelai bendera bukan perkara mudah.. bila sudah ada, saya pacak pada tiang dan pasangkan pada kereta."

“Bila tamat sambutan Hari Merdeka, saya akan bersihkan bendera berkenaan dan simpan untuk kegunaan tahun seterusnya,” katanya.

Beliau berkata, semangat menyambut Hari Merdeka tambah berkobar apabila berjaya membeli songkok bercorak Jalur Gemilang di Jalan Masjid India pada 1993.

“Pernah suatu ketika, saya mempunyai tujuh songkok bercorak Jalur Gemilang untuk digayakan sepanjang Bulan Merdeka."

“Tapi kerana terlalu ramai yang berkenan, saya jadikan ia cenderamata kepada individu tertentu dan hanya tiga songkok yang masih tersimpan kemas untuk digunakan."

“Songkok berkenaan saya pakai setiap hari, bermula 1 Ogos setiap tahun, mengikut jumlah tahun merdeka.. kalau tahun ini ulang tahun Kemerdekaan ke-55, jadi saya akan pakai selama 55 hari,” katanya yang berbuat demikian bagi menyemai semangat cintakan negara ke dalam dirinya dan generasi muda.

Mengenai corak dan reka bentuk hiasan yang akan dibuat pada keretanya, Hashim berkata, dia sudah menyiapkan grafik bersesuaian dengan tema Hari Merdeka tahun ini.

“Bagaimanapun, ia bergantung kepada keadaan kesihatan saya.. Kalau asma berkurangan, dapatlah saya usahakan apa yang dirancang, tapi kalau sebaliknya, cukuplah sekadar menghias rumah dan bergaya dengan baju Melayu bercorak Jalur Gemilang sepanjang Bulan Merdeka,” katanya.

Sementara itu, kunjungan Harian Metro ke rumahnya semalam, mendapati bahagian luar dan dalam rumahnya dipenuhi dengan bendera yang dihias dalam pelbagai bentuk seperti langsir tingkap serta pintu.

Selain hiasan dan gambar, beliau juga sempat menunjukkan koleksi baju Melayu serta samping yang diperbuat daripada Jalur Gemilang.

Menurut Hashim, dia sudah berhabis hampir RM50,000 semata-mata untuk menghias keretanya menggunakan teknik semburan ‘air brush’, membeli Jalur Gemilang, menempah songkok serta pakaian khas sejak 1999, namun semuanya berbaloi dan memuaskan hatinya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan