Khamis, 4 Oktober 2012

Festival Burung Borneo Di Sandakan


SANDAKAN: Sabah julung kali akan menganjurkan Festival Burung Borneo di Pusat Penemuan Hutan Hujan (RDC) di Sepilok di sini mulai Sabtu ini, kata Pengerusi Lembaga Pelancongan Sabah Datuk Dr Tengku Zainal Adlin.

Katanya pelbagai aktiviti akan diadakan sepanjang pesta lima hari itu termasuk persidangan antarabangsa mengenai pelancongan berteraskan burung, pertandingan burung dan pertandingan fotografi.

Katanya sempena festival itu dua buah buku yang mengandungi panduan mengenai 664 spesis burung yang terdapat di pulau Borneo akan dilancarkan.

Kira-kira 500 orang termasuk peserta persidangan dijangka hadir sepanjang festival itu termasuk dari Britain, Jepun, Australia, Taiwan dan Singapura, katanya pada sidang akhbar di sini kelmarin.

Menurutnya RDC dipilih sebagai lokasi festival tersebut bersesuaian dengan pengisytiharaan tempat berkenaan sebagai Kawasan Penting Burung di Sabah.

Katanya RDC sesuai menjadi pusat pemuliharaan burung berdasarkan lokasinya yang dikelilingi Hutan Simpan Sepilok dan dianggarkan terdapat 300 spesis terdapat di kawasan tersebut.

Festival itu dianjurkan bersama oleh Lembaga Pelancongan Sabah, Jabatan Perhutanan Sabah dan Persatuan Pencinta Alam Malaysia. -New Sabah Times

Tiada ulasan:

Catat Ulasan